PEMAIN tengah Uruguay, Rodrigo Bentancur, mencetuskan kebimbangan besar apabila diusung keluar dengan bantuan oksigen selepas mengalami kecederaan serius dalam perlawanan Piala Carabao antara Tottenham Hotspur dan Liverpool awal pagi Khamis.

Insiden itu berlaku ketika Bentancur melompat untuk menyambut sepakan sudut namun, dia gagal menyentuh bola dan terjatuh dengan cara yang kelihatan tidak terkawal.

Selepas terjatuh, Bentancur terus terbaring di atas padang, tidak bergerak, sehingga mencetuskan suasana panik di kalangan pemain kedua-dua pasukan.

Pasukan perubatan segera dipanggil untuk memberi rawatan kecemasan, menyebabkan perlawanan dihentikan selama kira-kira 10 minit.

Situasi menjadi lebih serius apabila Bentancur memerlukan bantuan oksigen di atas padang sebelum dibantu ke posisi duduk bagi pemeriksaan lanjut.

Dalam satu kenyataan di akaun rasmi Tottenham di platform X, kelab itu mengesahkan bahawa Bentancur berada dalam keadaan sedar dan sedang bercakap sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kecederaan terbaru ini menjadi tamparan hebat buat Bentancur yang sebelum ini turut mengalami kecederaan serius di kepala pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City pada Ogos lalu.

Ketiadaan Bentancur dijangka memberikan tekanan tambahan kepada jentera tengah Spurs yang kini berdepan jadual perlawanan padat di peringkat domestik dan Eropah.

Tottenham dijadualkan menentang Tamworth dalam saingan Piala FA pada Ahad, sebelum berdepan Arsenal dalam derby utara London yang dijadualkan pada 16 Januari.