PENGENDALI skuad hoki kebangsaan, A.Arulselvaraj perlu membuat keputusan tepat memilih seorang daripada dua pemain simpanan yang dibawa ke Odisha bagi kempen Piala Dunia 2023, bagi menggantikan pemain tonggak, Muhammad Shahril Saabah, yang mengalami kecederaan serius pada perlawanan menentang Chile, semalam.
Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, penyerang yang baru kembali bersama Malaysian Tigers itu, mengalami kecederaan hamstring kiri.
“Shahril mengalami kecederaan pada perlawanan menentang Chile dan selepas diperiksa doktor pasukan mendapati, kecederaan dialaminya agak serius,” kata Mirnawan.
Beliau berkata, pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan akan bermesyuarat hari ini, membincangkan hal itu serta merangka pelan program latihan di Bhubaneswar, selepas skuad negara tiba di daerah itu menaiki pesawat dari Rourkela, pagi tadi.
“Kita akan lihat apa bentuk keperluan bagi mengatasi masalah kecederaan ini dan mungkin pertukaran pemain akan dilakukan, namun antara dua pemain simpanan yang ada, siapa bakal dipilih Arul bagi menggantikan Shahril, kita belum tahu.
“Beliau (Arul) perlukan sedikit masa untuk menentukan siapa pemain yang akan menggantikan Shahril dalam baki perlawanan di Piala Dunia 2023.”
Skuad negara membawa dua penyerang sebagai pemain gantian ke kempen Piala Dunia Odisha di Bhubaneswar dan Rorkela, seperti mana dibenarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Sebelum bertolak ke India, Arul sudah menamakan dua pemain penyerang Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim yang memiliki 12 kaps dan Shahmie Irfan Suhaimi yang bakal membuat penampilan pertama bersama skuad senior kebangsaan, bagai menjangka kemungkinan yang bakal berlaku, terutamanya selepas pasukan dibelenggu kecederaan ketika menghadapi saingan Piala Negara-Negara di Afrika Selatan, Disember lalu.
Arul dijangka menamakan pemain yang bakal menggantikan Shahril selepas latihan sesi pagi, esok. Tahun lalu, Shahril mengalami kecederaan otot betis sehingga terlepas aksi Piala Sultan Azlan Shah, di ipoh, Perak dan Piala Negara-Negara di Affrika Selatan.
Sementara itu, Malaysian Tigers menaiki pesawat dari Rourkela ke Bhubaneswar pagi tadi, tidak menjalani latihan sebaliknya pemain akan menonton analisa video secara individu, sebelum menyertai acara makan malam dan menjalani latihan bermula pagi esok.
Selepas tewas 4-0 kepada Belanda dan menang 3-2 ke atas Chile di Rourkela, skuad bimbingan Arul kini menghuni tangga ketiga kumpulan C, di belakang Belanda dana New Zealand, dan hanya ketinggal di belakang New Zealand berdasarkan berbezaan jaringan.
Justeru, perlawanan terakhir kumpulan menentang New Zealand di Bhubaneswar, Khamis ini amat penting, dalam usaha pasukan mendapatkan kedudukan terbaik bagi membolehkan laluan lebih selesa pada perebutan satu lagi slot ke suku akhir membabitkan pasukan yang menghuni tangga kedua dan ketiga setiap kumpulan.