KETUA jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun dengan rendah dirinya memohon maaf kerana gagal menamatkan dominasi Thailand dalam acara berpasukan setelah tewas kepada mereka di pentas final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung pada Ahad.
Perlawanan sengit yang berlangsung di Stadium Titiwangsa itu menyaksikan skuad regu berpasukan negara telah disisihkan oleh Thailand daripada merampas gelaran juara yang sudah dimilikinya sejak tahun 1991 lagi.
Beberapa kesilapan yang dibuat oleh pemain menjadi satu elemen kekalahan yang dialami oleh Malaysia, namun Ahmad Jais tetap tidak menafikan kemampuan sebenar pihak lawannya dan akan berusaha untuk mempersiapkan pasukan bagi kejohanan seterusnya.
“Saya bagi pihak pasukan kebangsaan memohon maaf kepada semua atas kegagalan kita untuk memecahkan dominasi Thailand bagi acara berpasukan.

Malaysia kalah 1-2 kepada Thailand dalam pentas akhir.
“Kita lihat beberapa elemen dalam permainan khususnya bagi permainan kedua dan ketiga yang menyebabkan kita gagal memberi saingan kepasa pasukan Thailand. Kita juga sedar bahawa tiada jalan mudah untuk pemain-pemain mencapai prestasi terbaik.
“Kita pasti akan melipat gandakan usaha untuk memperbaiki prestasi dan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan Antarabangsa selepas ini,” ujar beliau ketika ditemui selepaa tamat aksi final antara Malaysia dan Thailand pada Ahad.
Dalam masa yang sama, Ahmad Jais turut menegaskan agar para pemain tidak berasa puas hati dengan pencapaian semasa yang telah diraih, sebaliknya mereka perlu meningkatkan prestasi masing-masing dan memastikan ada peningkatan dalam sepak takraw Malaysia.
Terdahulu, Malaysia tewas 1-2 kepada Thailand dalam pentas akhir acara regu berpasukan yang berlangsung di gelanggang Stadium Titiwangsa. Kekalahan tersebut memberi makna bahawa Malaysia terus berada di ambang kekalahan dalam acara berkenaan selepas 33 tahun dilanda kekecewaan yang tidak terubat.