SERVIS tekong negara, Muhammad Syahir Rosdi nampaknya terlalu berbahaya bagi pemain China, apabila pasukan dari negara Tembok Besar itu gagal menanganinya dengan baik, sehingga akur dengan kehebatan pasukan tuan rumah.
Membuka tirai saingan acara regu berdepan China dalam kumpulan B, wakil negara meraih kemenangan sulung di Stadium Titiwangsa yang menyaksikan, regu dibarisi Syahir selaku tekong, Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) tiada masalah mengatasi lawan 15-6, 15-7 dalam tempoh 30 minit.
Kapten pasukan, Farhan berkata, permainan yang ditampilkan belum mencapai 100 peratus sebagaimana yang dirancang, namun yakin prestasi regu itu akan meningkat dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya.
“Kita akui, melalui servis Syahir membantu pasukan memenangi perlawanan tetapi jangan lupa tanpa lambungan yang ‘sedap’ juga tentunya Syahir tidak dapat melakukan servis dengan baik, jadi saya nak katakan bahawa kemenangan ini hasil dari semua pemain dalam regu,” kata Farhan, sejurus selepas tamat perlawanan.

Syahir-FArhan-Azlan belum mencapai tahap prestasi terbaik.
Menurutnya, China terlalu asing kepada regu negara dan pada awalnya agak sukar membaca corak permainan lawan, namun lega, kehadiran penonton yang membanjiri stadium banyak membantu.
“Penonton banyak membantu kami hari ini, membantu kami beraksi dengan baik dan bersemangat,” ujar Farhan sambil enggan mengulas mengenai prestasi seteru utama, Thailand yang mencapai kemenangan 2-0 (15-7, 15-8 ) ke atas Vietnam.
Terdahulu, China yang diwakili Wu Haoran, Zhang Ruhou dan Fan Xu jelas gagal mengimbangi set pertama terutamanya menerima servis deras Syahir dan rejaman tajam Azlan.
Pada set kedua, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun merehatkan Azlan dan membawa masuk perejam gulung negara, Shaharil Aiman Halim untuk menambah sengat.
Pada hujung set kedua, Ahmad Jais turut merehatkan Syahir bagi memberi peluang kepada Mohd Haziq Hairul Nizam turun beraksi.
Kemenangan berkenaan membolehkan skuad negara mengungguli tangga teratas Kumpulan B dengan dua mata dan akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Brunei, jam 8.30 malam Ahad (esok).
Sekiranya muncul juara Kumpulan B, Malaysia akan berdepan naib juara kumpulan C yang dianggotai Korea Selatan, Filipina dan Singapura di suku akhir.

Regu negara akan beraksi menewntang Brunei esok untuk melengkapkan saingan regu dalam kumpulan B.
Berdepan Brunei, Farhan enggan memandang mudah cabaran pasukan yang dilatih bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Talib Ahmad.
“Brunei juga kuat, seperti semua tahu, bekas jurulatih kita kini melatih mereka.
“Brunei memiliki kelebihan berbanding kita kerana jurulatih Talib tahu permainan kami,” kata Farhan.
Dalam pada itu, wakil beregu (double) negara yang berada dalam Kumpulan A akan turun dalam perlawanan pertama pada Ahad menentang Jepun (6.30 petang).
Terdahulu, Jepun meraih kemenangan pertama selepas menumpaskan Brunei 15-13, 15-10.