EVERTON memulakan era baharu selepas pemecatan pengurus Sean Dyche dengan kemenangan 2-0 ke atas Peterborough United dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Goodison Park, awal pagi Jumaat.
Gol daripada Beto dan Iliman Ndiaye memastikan skuad The Toffees, yang kini bergelut di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris, mara ke pusingan keempat.
Beto membuka jaringan pada minit ke-42 selepas menerima hantaran cantik daripada Harrison Armstrong. Penyerang tersebut bijak mengelak penjaga gol Peterborough, Nicholas Bilokapic, sebelum menyudahkan peluang ke gawang kosong.
Ndiaye pula menambah gol kedua Everton melalui sepakan penalti pada minit ke-98, selepas Jarrad Branthwaite dijatuhkan oleh Jadel Katongo.
Perlawanan ini juga menandakan permulaan baharu buat Everton dengan Seamus Coleman dan Leighton Baines mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara. Baines, yang merupakan jurulatih pasukan B-18 Everton, meluahkan rasa puas hati dengan kemenangan tersebut.
“Ia hari yang unik dalam pelbagai aspek, tetapi satu momen yang indah buat saya, Seamus, dan juga pemain-pemain.
“Kemenangan ini penting untuk moral pasukan, lebih-lebih lagi dalam saingan yang kami ingin terus sertai,” kata Baines
Namun, kemenangan tersebut dicemari oleh kecederaan serius penyerang Everton, Armando Broja, yang terpaksa diusung keluar menggunakan pengusung pada lewat permainan.
Broja dipercayai mengalami kecederaan buku lali yang memerlukan rawatan segera di atas padang, termasuk menggunakan bantuan oksigen.
Peterborough, yang berada 47 tangga di bawah Everton dalam struktur bola sepak England, hampir mengejutkan tuan rumah apabila percubaan Cian Hayes nyaris masuk, tetapi Jarrad Branthwaite berjaya menghalang di garisan gol.
Walaupun Beto melegakan Everton dengan gol pembukaan, pasukan itu terlepas peluang untuk menggandakan jaringan pada awal babak kedua apabila Idrissa Gueye gagal menyempurnakan hantaran Nathan Patterson.
Kecederaan Broja dan masa kecederaan yang panjang akibat insiden tersebut mematahkan momentum Peterborough untuk melakukan kebangkitan lewat, sebelum Ndiaye memastikan kemenangan menerusi sepakan penalti tenang.
Pengurus Peterborough, Darren Ferguson, tetap berbangga dengan prestasi pasukannya meskipun tewas.
“Saya minta pemain-pemain untuk menunjukkan keupayaan mereka, dan mereka melakukannya lebih daripada itu. Kami memberi saingan hebat kepada Everton, tetapi gol penalti pada detik akhir memastikan kemenangan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain pada malam sama, Fulham mara ke pusingan keempat selepas menang 4-1 ke atas Watford, dengan Rodrigo Muniz, Raul Jimenez, Joachim Andersen, dan Timothy Castagne mencatat nama sebagai penjaring.
Cardiff City pula menewaskan Sheffield United 1-0 hasil jaringan Cian Ashford dalam pertembungan pasukan Championship.