DEMI sejarah yang bakal dicpta, pemain berpengalaman Razie Rahim mahu terus meledak jaringan, namun bukan untuk menjadi penjaring terbanyak Piala Sultan Azlan Shah 2022.
Flicker Speedy Tigers itu mengakui kehebatan pasukan lawan dan kemahiran Korea Selatan dalam menghasilkan jaringan menerusi pukulan sudut penalti.
“Bagi saya, jaringan yang saya dapat adalah gol buat pasukan. Tanpa pemain lain, saya tidak dapat menjaringkan gol.
“Apabila saya dipertanggungjawabkan menyempurnakan pukulan sudut penalti, saya akan pastikan saya melakukannya dengan baik,” kata Razie, selepas tamat latihan hari ini menjelang perlawanan akhir Malaysia menentang Korea Selatan pada Khamis.
Sejak awal penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 1983, Malaysia tidak pernah muncul juara dan sekadar muncul naib juara sebanyak lima kali.
Selepas tamat pusingan round robin, Razie mendahului carta penjaring terbanyak, dengan 5 gol diikuti Sufyan Khan dari Pakistan dan seorang lagi pemain negara, Shello Siverius (4 gol), manakala dua pemain Korea Selatan Jeon Byungjin dan Kim Hyeonhong (3 gol).
Katanya, misi utama adalah dapatkan jaringan buat pasukan sekali gus memenangi perlawanan.
“Mengikut statistik, kebanyakan gol Korea Selatan dihasilkan menerusi pukulan sudut penalti, namun kami sudah membuat Analisa terperinci berkaitan set pukulan sudut penalti mereka.
“Dalam masa sama, kami juga sudah mengenalpasti kesilapan-kesilapan kami lakukan sepanjang lima perlawanan awal. Saya yakin, semua pemain dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi memastikan kemenangan milik kita kali ini,” kata Razie lagi.
Sepanjang kejohanan berlangsung, Malaysia sudah menjaringkan 16 gol, Jepun, Afrika Selatan dan Pakistan dengan 9 gol manakala Korea Selatan, 8 gol dan tujuh daripadanya pukulan sudut penalti.