PEMAIN hoki Korea Selatan tiba di Ipoh tanpa perlawanan latihan sejurus berakhir liga kebangsaan namun ianya tidak akan menghalang mereka untuk mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah yang dimenangi mereka pada 2019.
Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah kembali semula selepas dua tahun tidak diadakan ekoran penularan pandemik Covid-19 dan pengendali Korea, Shin Seok Kyo sentiasa menganggap kejohanan ini adalah kejohanan yang penting buat mereka.
Skuad hoki Korea akan bertanding buat kali ke-21 dan pernah muncul juara tiga kali (1996, 2010, 2019), naib juara empat kali (1999, 2000, 2001, 2005) dan mendapat tempat ketiga juga sebanyak empat kali (1998, 2004, 2013 dan 2014).
Mereka juga akan menggunakan kejohanan ini sebagai medan pemanas badan sebelum ke Nations Cup di Afrika Selatan dan persediaan menghadapi Piala Dunia India 2023.
“Kami tiba di sini tanpa sebarang perlawanan persahabatan atau sesi latihan. Kami berkumpul lima hari sebelum berlepas ke Malaysia selepas tamat liga kebangsaan. Lima hari ini hanya digunakan untuk menilai keadaan para pemain.
“Kami tiba di Ipoh pada sebelah pagi dan akan mengadakan sesi latihan pertama kami pada sebelah petang dan kami hadir ke sini untuk muncul juara seperti juga pasukan yang lain.
Korea Hockey Team for the 29th Sultan Azlan Shah Hockey Cup Malaysia pic.twitter.com/XJkVuk5AWd
— Asian Hockey Federation (@asia_hockey) October 29, 2022
“Selepas ini kami akan bersaing pula di Nations Cup dan mungkin akan memperkenalkan dua lagi pemain muda dalam senarai 18 pemain yang dibawa ke Ipoh kerana saya ingin melengkapkan 20 pemain,” katanya.
Ditanya mengenai peluang mereka pada perlawanan pembukaan menentang Malaysia pada Selasa, Shin berkata mereka akan berhadapan pasukan yang sudah biasa ditemui dan mengandaikan satu perlawanan yang sengit.
“Malaysia adalah pasukan yang meningkat naik sebagai kuasa hoki dibawah seliaan rakan saya, A.Arul Selvaraj. Ianya sentiasa menjadi pertembungan yang sengit dan saya menjangkakan perkara yang sama akan berlaku,” tambahnya.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah ketika final Piala Asia di Jakarta Jun lalu dimana Korea mengecewakan Malaysia pada aksi final dengan kemenangan 2-1.