MENCICIRKAN mata ketika bertemu Jepun di suku akhir membuatkan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu menebusnya pada pertemuan separuh akhir Piala Thomas, menentang China pada Sabtu.

Pasangan nombor lima dunia itu menang set pertama 21-18 ketika berdepan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, terpaksa akur tewas dua set berikutnya 14-21, 19-21 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone sekali gus menyaksikan badi kekalahan mereka di tangan lawan berkenaan berlanjutan kepada tujuh perlawanan berturut-turut sejak 2021.

“Saya perlu ucapkan tahniah kepada pasukan kerana semua memberikan komitmen 100 peratus dan kami berjaya melangkah ke separuh akhir.

“Sudah tentu kami kecewa di atas kekalahan semalam dan tidak dapat menyumbang mata kepada pasukan, tetapi perjuangan kami belum selesai. Masih ada perlawanan separuh akhir menentang China.

“Ia akan menjadi perlawanan yang paling sukar untuk kami tetapi saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk menghadapinya,” kata Aaron.

Selepas terpaksa berada pada kedudukan kedua kumpulan D di belakang Denmark, skuad negara bangkit mengejutkan pilihan ke-3/4 kejohanan, Jepun di suku akhir.

Aaron-Wooi Yik berdepan tugas getir esok apabila dijangka bertemu pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang untuk tugas selaku beregu pertama.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik hanya menang sekali ke atas lawan berkenaan dalam tujuh pertemuan sebelum ini termasuklah tewas dalam tiga perlawanan terakhir antara mereka.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak mahu pemain terlalu meraikan kejayaan ke separuh akhir.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tamatkan kebangkitan skaud Jepun dengan meraih mata kemenangan pada aksi suku akhir Piala Thomas 2024.

“Perseorangan mereka sangat kuat, manakala persaingan untuk beregu adalah seimbang. Kelebihan kita sebenarnya tiada tekanan sebab kita bukan pilihan untuk menampilkan aksi terbaik,” katanya.

Justeru, legenda beregu lelaki Indonesia itu mahu melupakan dahulu kegembiraan menyingkir Jepun di suku akhir.

“Semua pemain perlu kekal merendah diri, jaga pemakanan serta mendapatkan rehat secukupnya untuk kita melakukan persiapan menjelang aksi separuh akhir nanti,” kata Rexy.

Berdasarkan rekod pertemuan, China memiliki kelebihan ke atas Malaysia apabila mencatat kemenangan dalam semua empat perlawanan terakhir dan terkini pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Februari lalu.