SEBAGAIMANA memenangi perlawanan dan melangkah ke final, begitulah pendekatan yang bakal digunakan skuad hoki lelaki Melaka menjelang perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak 2023, pada Sabtu.
Skuad Kancil itu akan berdepan cabaran Kuala Lumpur (KL) yang pada pertembungan yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Jurulatih Melaka, Nor Ikhram Sulaiman berkata, Melaka sedia mengekalkan pendekatan untuk mencari kelemahan sendiri dalam usaha mereka meningkatkan kualiti permainan ketika membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur nanti.
Dia berkata, ramuan yang digunakan sejak awal saingan membawa kesan cukup baik sehingga membantu mereka menewaskan juara tiga kali berturut-turut, Perak pada aksi separuh akhir malam kelmarin.
“Daripada awal saingan lagi kami ambil pendekatan untuk mengkaji kelemahan sendiri dari satu ke satu perlawanan. Memang kami betul-betul belajar apa yang perlu diperbaiki sehingga dapat menang ke atas Perak semalam.
“Untuk aksi bertemu KL, kami akan cari lagi kelemahan dan memperbaikinya. Kemudian, kami akan berikan segala-galanya pada perlawanan akhir nanti, itu sahaja rahsia kami,” katanya, pada sidang media perlawanan akhir di Bukit Jalil, hari ini.
Dalam pada itu, Ikhram turut mendedahkan, beliau langsung tidak menjangka, Melaka mampu melayakkan diri ke perlawanan akhir memandangkan sebahagian besar pasukan Melaka dibarisi pemain muda.
“Secara jujur, Melaka tidak jangka dapat ke final kerana dari awal lagi pasukan kami ramai pemain muda. Kali ini ada 10 muka baharu dan yang paling muda baru berusia 15 tahun tetapi keinginan mereka cukup tinggi dan berjaya buktikannya,” tambah beliau.
Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, I Vikneswaran berkata, pasukannya menghormati kemampuan Melaka selain menganggap kedua-dua pasukan bakal menyajikan aksi menarik pada perlawanan akhir.
“Melaka adalah pasukan yang sangat bagus, mereka layak ke final dengan menewaskan Perak sebagai juara bertahan. Kami hormat dengan kemampuan mereka dan esok pertandingan pasti menarik,” ujarnya.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bergelar juara dengan Melaka memenanginya buat kali terakhir pada 2019 manakala Kuala Lumpur pada 2011.
Sementara itu, aksi final kategori wanita pula akan mempertemukan juara bertahan, Selangor dan Sabah yang mencipta sejarah layak ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam lapan edisi penganjuran.