KEGEMBIRAAN kontinjen negara meraih pingat pertama menerusi obstacle race (lari berhalangan) menimbulkan kekeliruan mengenai siapa yang pertama menyumbang gangsa, buat negara.

Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli pertama turun berentap dalam penentuan gangsa menentang atlet Indonesia, Anggun Yolanda Samsul Hadi, menyaksikan atlet negara dipintas di saat akhir dan tewas kepada lawannya biarpun mencatat masa 41.724 saat (s) sekali gus akur gagal meraih pingat.

Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila namanya di dipanggil menaiki podium Bersama Anggon untuk menerima kalungan gangsa.

Sudah rezeki…. di sebalik kontroversi tuan rumah mahu atlet lelaki mereka meraih gangsa, Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli turut mendapat manfaatnya.

Difahamkan keputusan itu dibuat selepas tuan rumah Sukan SEA ke-32, Kemboja membuat keputusan saat akhir untuk memberikan pingat gangsa bersama dalam acara individu lelaki, biarpun wakil negara, Yoong Wei Theng mengatasi atlet mereka Ol Saeheng dengan catatan 26.549s.

“Saya tiada komen untuk itu (keputusan saat akhir oleh tuan rumah) tetapi mereka ambil keputusan untuk memberikan pingat secara bersama. Saya hanya mengetahui pada saat akhir.

“Perasaan saya ketika ini bercampur baur, tetapi apapun saya tetap bersyukur dengan pingat ini” kata Athirah yang ditemui Utusan Malaysia.

Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli raih gangsa buat kontinjen negara.

Kejayaan meraih dua pingat gangsa merupakan permulaan yang baik untuk skuad lari berhalangan negara yang sudah mencapai sasaran ditetapkan.

Malah, mereka bakal menambah bonus kerana berpeluang meraih dua lagi pingat khususnya dalam acara berpasukan lelaki yang dibarisi Redha Rozlan, Nuur Hafis Said Alwi, Ghalib Azimi serta Wei Theng yang akan membuat perhitungan dengan Filipina dalam aksi final esok.

Wei Theng berkata, pencapaian itu diharap menjadi penyuntik semangat buat acara berpasukan esok, baik kepada pasukan lelaki yang memburu emas mahupun Wanita pada penentuan gangsa.

Pingat gangsa yang diraih meningkatkan lagi semangat Yoong Wei Theng untuk membantu pasukan lelaki meraih pignat emas, esok.

“Saya rasa lawan saya lebih gementar berbanding saya dia beraksi di hadapan penyokong sendiri, apabila dia terjatuh ketika halangan kedua, saya akui agak terkejut, saya beritahu diri sendiri untuk tidak terlalu memikirkannya dan teruskan fokus untuk menghabiskan perlumbaan.

“Untuk esok (acara berpasukan), ia mungkin akan menjadi kurang tekanan untuk saya kerana saya hanya akan beraksi pada bahagian permulaan trek sahaja dan bukannya keseluruhan seperti hari ini (semalam). Saya lebih selesa dengan bahagian permulaan, jadi ia akan menjadi kelebihan untuk saya supaya mengelakkan permulaan saya dibatalkan,” kata Wei Theng.