URA-URA pasukan Petaling Jaya City FC ingin menarik diri dari saingan Liga Malaysia 2023 bertiup kencang di internet dan rata-rata penyokong bola sepak tempatan kecewa dengan perkembangan yang tidak menarik ini.

Namun begitu pihak Malaysia Football League (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam menafikan desas-desus itu kerana mereka masih belum mendapat sebarang pengesahan daripada pihak kelab.

Bagaimanapun jika benar PJ City ingin menarik diri atau bakal memiliki pemilikan baharu, MFL akan memantau proses ini dan membantu terutama dari segi perundangan bola sepak bagi memastikan semuanya mematuhi proses yang ditetapkan.

Stuart Ramalingam

“Setakat ini pihak MFL masih belum mendapat apa-apa pengesahan dari pengurusan kelab PJ City. Malah saya ada berjumpa sendiri dengan CEO dan barisan pengurusan kelab minggu lalu dan mereka masih mahu meneruskan penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia.

“PJ City juga telah mendapat lesen penyertaan dan mereka lulus dengan cemerlang dan bukan hanya cukup makan namun jika benar mereka ingin menarik diri, MFL tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya.

“Sekiranya ada pihak lain yang mahu mengambil alih, MFL akan memantau proses pengambil alihan itu dan sudi memberikan bantuan terutama dari sudut perundangan bola sepak kerana ianya berbeza dengan kontrak pengambil alihan komersil,” katanya ketika ditemui ketika majlis pelancaran setem edisi terhad Piala Malaysia 2022.

PJ City FC berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga kesembilan liga meskipun hanya menggunakan kesemua pemain tempatan dan berjaya melahirkan pemain yang dipilih untuk bermain bersama skuad kebangsaan.

Dalam sidang media yang sama, Stuart turut mengumumkan tidak ada perubahan pada penjadualan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang berlangsung sehari selepas Pilihan Raya Umum dengan Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai venue perlawanan akhir.