PRESTASI dipamerkan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus menjunam dalam tempoh tiga minggu terakhir, apabila tersingkir di pusingan awal Terbuka Indonesia, setelah dihantar pulang pada pusingan kedua.

Sandaran pingat emas negara di Sukan Olimpik Paris 2024 itu, tewas straight set kepada beregu ranking ke-25 dunia dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 16-21, 14-21 dalam tempoh 38 minit.

Kekalahan itu seakan ‘mengiringi’ kekecewaan beregu ranking kelima dunia itu, yang turut tersingkir di suku akhir Terbuka Singapura minggu lalu selepas kalah kepada gandingan keempat dunia dari Denmark, Kim Asrup-Anders Skaarup Rasmussen 10-21, 14-21.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik semakin kurang menyengat berbanding gandingan negara yang tidak layak ke Paris.

Malah seminggu sebelum itu di suku akhir Masters Malaysia, Aaron-Wooi Yik yang meraih pingat gangsa di Olimpik Tokyo 2020 tewas di tangan pasangan ke-34 dunia dari Korea Selatan, Jin Yong-Na Sung Seung 21-11, 19-21, 19-21.

Pastinya, kekalahan terutama di tangan beregu yang berada di ranking lebih bawah ini memberi satu tamparan yang harus diperbaiki segera menjelang Paris 2024 yang hanya berbaki kira-kira 50 hari sahaja lagi.

“Keadaan kami tidak berapa baik, jadi perlu fokus kepada latihan dan lawan hari ini juga bermain dengan lebih baik,” kata Wooi Yik kepada BWF.

“Secara keseluruhannya, kami perlu perbaiki lagi dan cari semula keyakinan serta permainan terbaik kami dalam latihan selepas ini.

“Ya (inginkan kilauan pingat lebih baik daripada gangsa di Paris 2024) tetapi kami perlu fokus secara satu demi satu dalam latihan serta perbaiki lagi corak permainan kami,” katanya.

Terbuka Indonesia adalah kejohanan terakhir disertai Aaron-Wooi Yik dan selepas ini, gandingan juara dunia 2022 itu dijadual akan menyertai kem latihan pusat sebelum beraksi di Paris 2024 dari 27 Julai hingga 5 Ogos ini.