SELEPAS dua wakil akhir Asean Johor Darul Ta’zim (JDT) dan BG Pathum United tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL), bagaimanakah prestasi kelab Asean dalam kempen ACL musim ini.

Ramai penyokong teruja apabila dua kelab Asean berjaya melangkah ke pusingan kalah mati ACL tetapi harapan itu terkubur hanya dalam tempoh empat hari apabila kedua-dua kelab itu tersingkir.

Apa yang menarik, kedua-dua kelab ini menjadi mangsa wakil Jepun, Urawa Red Diamonds yang menewaskan JDT 5-0 pada pusingan 16 terbaik sebelum menang selesa ke atas Pathum United 4-0 pada aksi suku akhir.

BG Pathum United layak hingga ke suku akhir ACL

Namun memandangkan tahap bola sepak Asia Tenggara yang masih ketinggalan berbanding Jepun dan Korea Selatan, apa yang ditampilkan oleh kedua-dua kelab itu boleh dipuji dan masih mampu dibanggakan.

Daripada  enam kelab yang mengambil bahagian, dua kelab berjaya ke peringkat kalah mati dan ini boleh dikira sebagai kejayaan awal sebelum mencapai kejayaan sebenar iaitu mengurangkan jurang antara liga Asia Tenggara dengan liga utama Asia.

Wakil Singapura, Lion City Sailors mencatatkan kempen menggalakkan dalam debut mereka di ACL dengan dua kemenangan dalam Kumpulan F untuk menduduki tangga ketiga.

Lion City Sailors

Kelab Filipina, United City pula dilihat cukup bergelut dan kurang berdaya saing dalam Kumpulan G dan akhirnya tewas keenam-enam perlawanan namun ianya satu pengalaman yang baik buat mereka.

Dibawah kendalian legenda Thailand, Kiatisuk Senamuang, kelab Vietnam, Hoang Anh Gia Lai (HAGL) berjaya mempamer aksi positif selepas kembali semua ke pertandingan ini sejak 2005 dengan satu kemenangan ke atas Sydney FC dalam Kumpulan H.

Jika Pathum United berjaya ke suku akhir, nasib berbeza melanda Chiangrai United yang hanya mendapat satu mata dari empat perlawanan meskipun dilihat mempunyai cukup pengalaman untuk bertanding dalam kejohanan ini.

HAGL Vietnam

Kredit dan pujian harus diberikan kepada Pathum United yang muncul pasukan Asean yang mara paling jauh pada kempen ini selain muncul juara Kumpulan G mengatasi Melbourne City dan Jeonnam Dragons.

Kempen keempat JDT dalam ACL juga sangat menakjubkan apabila berjaya muncul juara Kumpulan I dengan mengenepikan dua juara, Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale sudah cukup untuk memberikan kebanggaan kepada juara lapan kali Liga Super Malaysia ini.

Secara keseluruhannya, bola sepak Asean lulus dan tidak gagal pada kempen ACL kali ini. Kelab-kelab Asean kini bukan lagi pasukan belasahan dan sudah mula memberikan saingan sehingga membuka mata beberapa pasukan ternama Asia.

Musim 2023-2024 nanti diharapkan agar pasukan Asean lebih berdaya saing dan akan membuktikan kemampuan mereka pada kejohanan kelab terbesar Asia ini.