KETUA pasukan Manchester United, Bruno Fernandes, menyuarakan kekecewaannya terhadap prestasi tidak konsisten pasukannya walaupun berjaya mencatat keputusan seri 2-2 menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

United mempamerkan salah satu persembahan terbaik mereka musim ini apabila bangkit untuk mengikat Liverpool di Anfield pada awal pagi Isnin.

Namun, Fernandes menegaskan bahawa pasukannya perlu menunjukkan tahap permainan seperti ini dalam setiap perlawanan, bukan hanya ketika bertemu pasukan besar.

“Kami telah dikritik dan kedudukan kami dalam liga menceritakan segalanya, kami telah kehilangan terlalu banyak mata.

“Hari ini pun, kami tidak boleh berpuas hati dengan satu mata, kami perlukan mata dan kami boleh saja memenangi perlawanan di penghujungnya, tetapi keputusan ini adil kerana kedua-dua pasukan bermain bola sepak dengan baik,” ulasnya kepada Sky Sports selepas perlawanan.

Bruno tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya apabila United hanya menunjukkan prestasi seperti ini ketika bertemu Liverpool, pasukan yang ketika ini sedang berada di puncak liga.

“Saya kecewa. Jika kami mampu menunjukkan tahap permainan ini di Anfield, menentang pasukan nombor satu liga, kenapa kami tak boleh melakukannya di tempat lain? Ini sangat mengecewakan saya,” tambahnya.

Selain itu, Bruno juga menyeru rakan sepasukan agar menjadikan usaha keras yang dipamerkan dalam perlawanan ini sebagai penanda aras untuk baki musim.

Manchester United kini berada di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris dan hampir mencatat kekalahan keempat berturut-turut dalam liga dan ia sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak 1979.

Bruno Fernandes (tiga dari kanan) menyeru rakan sepasukan untuk kekal konsisten dan bangkit untuk baki musim ini.

Walaupun keputusan seri ini memberi sedikit nafas kepada skuad kendalian Ruben Amorim, mereka perlu segera bangkit untuk mengelak tekanan terus meningkat terhadap pengendali baharu itu.

United kini berdepan cabaran untuk membuktikan mereka mampu mengembalikan prestasi cemerlang ini di setiap perlawanan, bukan hanya apabila menentang pasukan besar seperti Liverpool.

Sebagai tambahan, Manchester United akan berehat daripada aksi liga hujung minggu ini dan mereka akan bertemu Arsenal dalam pusingan ketiga Piala FA pada 12 Januari nanti.