KEJAYAAN meraih dua kejuaraan pada Piala Dunia Sepaktakraw 2024, membuktikan sukan sepak takraw masih berada di tahap landasan tepat sebagai sukan kegemaran rakyat Malaysia.
Dua pingat emas dalam acara regu dan double, menjadi bukti Malaysia masih mampu membentuk skuad yang kuat sehingga berjaya melibas kuasa besar, Thailand.
Malah, kebanjiran penyokong ke Stadium Titiwangsa dari hari pertama Piala Dunia berlangsung hingga ke final membuktikan pengikut sukan ini masih besar.
Justeru, sepak takraw wajar dikembalikan haknya sebagai sukan teras di negara ini.
Selain itu, sepak takraw juga menjadi acara yang sering menghadiahkan pingat kepada kontinjen negara, baik di pentas Sukan Sea mahupun Sukan Asia.
Malah, dengan memasukkan kembali sepak takraw sebagai sukan teras akan dapat memastikan program pembangunan yang lebih sistematik di peringkat akar umbi.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, susulan daripada kejayaan di Piala Dunia itu, tiba masa yang sesuai buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kembali mempertimbang sepak takraw ke dalam senarai sukan teras selepas digugurkan pada 2017.
“Satu, kita boleh katakan sepak takraw adalah sukan tradisi, sukan warisan yang popular dan peminatnya ramai di Malaysia. Keduanya, kemecerlangan kita terutama di Piala Dunia pun kena diambil kira.
“Ketiga, apabila berada dalam sukan teras, perancangan PSM untuk ke arah pembangunan yang lebih sistematik, berstruktur termasuk penubuhan akademi ataupun skuad pelapis Malaysia B kita akan menjadi lebih baik kerana ada kerjasama dari KBS sendiri.
“Selama ini kita tak boleh rancang banyak perkara, termasuk pembangunan kerana ada perkara yang membabitkan kuasa besar dan perlu sokongan daripada kerajaan,” kata Sumali.
Pada 2017, sepak takraw, angkat berat dan taekwondo digugurkan dari sukan teras berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
Namun sepak takraw kembali bangkit dengan mempamerkan prestasi positif seperti meraih tiga pingat perak dan dua gangsa di Sukan SEA Vietnam, empat perak dan empat gangsa di Kemboja tahun lalu selain dua perak di Sukan Asia Hangzhou dan seharusnya sukan ini kembali disenaraikan semula ke sukan teras.
“Kalau kita tengok dari segi kejayaan sebelum ini, sepak takraw tidaklah seteruk mana… setiap kali di Sukan SEA atau Asia, dapat perak dan kalah pun dapat pingat, maknanya masuk final. Itu semua sudah berlaku (kejayaan), jadi saya boleh katakan ia satu pencapaian agak cemerlang walaupun masih tak boleh menembusi kuasa besar Thailand pada waktu itu.
“Namun sekarang kita boleh kalahkan Thailand (di Piala Dunia), walaupun di gelanggang sendiri, tapi kecemerlangan itu ada. Saya juga dimaklumkan dari segi kriteria itu, kita sudah lepas untuk ke sukan teras, tetapi mungkin ia dalam pertimbangan MSN dan menteri.
“Saya yakin mereka akan pertimbangkan dengan sewajarnya dan kembalikan sukan sepak takraw supaya nilai sepak takraw ini akan lebih tinggi daripada sebelum ini,” katanya.