PEMAIN pertahanan dari Denmark, Patrick Dorgu, mendedahkan dirinya memilih untuk menyertai Manchester United kerana tertarik dengan rancangan yang dipersembahkan oleh Ruben Amorim kepadanya.

Dorgu kini rasmi berpindah dari Lecce ke Manchester United. Kelab Liga Perdana Inggeris itu mengumumkan kehadirannya di Old Trafford pada awal pagi Isnin.

Pemain berusia 20 tahun itu dibeli dengan harga €30 juta (RM139.681 juta), dengan tambahan bayaran tambahan (add-ons) yang dimasukkan dalam klausa pembeliannya. Dia menandatangani kontrak sehingga tahun 2030, dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya selama setahun lagi.

Selepas diperkenalkan sebagai pemain baharu Manchester United, Dorgu berkongsi sebab utama mengapa menerima tawaran daripada kelab tersebut. Dia mengakui tertarik dengan visi dan perancangan yang disampaikan oleh Ruben Amorim.

“Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Ruben Amorim. Visinya untuk pasukan ini dan masa depan kelab sangat menarik.

“Ada rancangan jelas untuk pembangunan saya, dan saya merasakan bahawa Manchester United adalah tempat terbaik untuk merealisasikan potensi saya serta mencapai cita-cita besar saya,” katanya kepada laman rasmi United.

Pengarah Manchester United, Jason Wilcox, menyambut baik ketibaan Dorgu dan menegaskan bahawa pemain itu direkrut kerana bakatnya yang luar biasa.

“Patrick adalah pemain yang sangat berbakat; keupayaannya dalam bertahan dan menyerang, kebolehan menyesuaikan diri, serta etos kerjanya menjadikannya aset penting dalam skuad Ruben Amorim.

“Patrick telah memulakan kariernya dengan sangat baik, dan pada usia 20 tahun, kami yakin dia akan terus berkembang di bawah bimbingan pasukan kejurulatihan kami yang cemerlang.

“Patrick adalah antara pemain muda berbakat yang terbaru kami bawa masuk ke kelab. Kami percaya bahawa setiap pemain muda ini mempunyai potensi bertaraf dunia dan keupayaan untuk memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan yang diperjuangkan oleh semua orang di Manchester United,” katanya.