PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) menggunakan khidmat pemenang empat kali Sukan SEA, R.Sharmendran untuk mengendalikan skuad pembangunan bagi memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat.
Menurut Presiden Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad, keputusan itu diambil selepas pihaknya dimaklumkan bahawa atlet terbaiknya itu mengumumkan persaraannya dalam dunia karate.
Tegas Nur Azmi, pihak persatuan sentiasa menagih pengalaman jaguh berusia 31 tahun itu untuk membantu persatuan melahirkan lebih ramai atlet terbaik selepas ini.

Pengalaman R Shamendran di pentas antarabangsa, amat berharga buat skuad karate remaja kebangsaan.
“Saya boleh sahkan bahawa Sharmendran sudah bersara sebagai atlet tetapi dia akan diberi tugas berbeza terutama kepada melatih pasukan pembangunan.
“Kami memerlukan dia untuk membangunkan atlet sandaran kami dan dengan kepakaran serta pengalaman di pentas antarabangsa saya yakin dia mampu membantu skuad karate negara,” kata Azmi selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Sharmendran sebelum ini memberi bayangan untuk bersara selepas menjalani pembedahan lutut buat kali keenam dalam tempoh sembilan tahun.

Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad mahu pengalaman dan kepakaran bekas atlet kebangsaan digunakan dalam membentuk karateka pelapis.
Sharmendran mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sewaktu kem latihan di Mesir pada Jun lalu dan telah selesai menjalani pembedahan baru-baru ini.
Shamendran terlibat secara langsung pada Kejohanan Karate ke-31 Kadet, Remaja dan B-21 Kebangsaan 2023, yang berlangsung di Stadium Juara, minggu lalu.
Sebagai rekod, Sharmendran menjadi atlet karate Malaysia paling berjaya selepas merangkul pingat emas Sukan SEA keempat berturut-turut dalam acara Kumite lelaki bawah 75kg.
Atlet kelahiran Selangor itu telah memenangi Sukan SEA pertamanya pada edisi Kuala Lumpur 2017, diikuti kemenangan pada 2019 (Manila) dan 2022 (Hanoi).