PEMAIN boling kebangsaan, Muhammad Rafiq Ismail kini meletakkan sasaran untuk memburu kejuaraan acara berpasukan di Kejohanan Boling Dunia selepas menamatkan kemarau kemenangan 15 tahun acara boling lima sepasukan lelaki untuk memenangi emas di Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-26 di Hong Kong.
Rafiq juga berpendapat bahawa dia menyifatkan dia kini berada dalam skuad terbaik sepanjang kariernya dan dia optimis dapat mengekalkan momentum kemenangan ini sehingga Kejohanan Dunia yang dijadualkan pada Oktober 2023 di Kuwait.
Pemain berusia 25 tahun ini juga berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan dirinya dan pasukan di Hong Kong dan selepas ini akan kembali fokus kepada kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung pada April 2023.
“Ini adalah kejayaan terbesar untuk kami kerana dapat menamatkan kemarau pingat emas selepas 15 tahun. Ini adalah sasaran yang sudah lama kita impikan dan kami sangat gembira kerana berjaya melakukan tugasan masing-masing dengan baik.
“Bagi Kejohanan Dunia di Kuwait nanti, acaranya melibatkan empat berpasukan dan bukannya lima berpasukan seperti di Hong Kong dan saya perlu bekerja keras untuk kekal dan pasukan namun percaya momentum kami akan berterusan sehingga kejohanan itu nanti.
“Kami juga percaya kami mampu merangkul emas selepas berjaya mendapat pingat gangsa ketika Kejohanan Dunia 2021 di Dubai kerana kini kami lebih baik dari segi komunikasi dan lebih serasi selain dapat mengatasi perkara yang sering kami debatkan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Hong Kong.
Rafiq dan rakan-rakan sepasukannya Syafiq Ridhwan, Syazirol Shamsudin, Tun Hakim, Timmy Tan dan Ahmad Muaz berjaya meraih pingat emas dengan melakukan 7,323 jatuhan pin selain Rafiq juga cemerlang meraih emas dalam acara masters.
Selain itu skuad lelaki negara turut memenangi emas acara All Events sekaligus menutup cabaran di Hong Kong dengan empat pingat emas, lima perak dan tiga gangsa secara keseluruhan.