INILAH peluang terbaik pasukan bola sepak Harimau Malaya kembali ‘mengaum’ buat kali kedua di hadapan penyokong fanatik di gelanggang sendiri dan memastikan tiket secara merit ke aksi Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2023 diperoleh.

Pertembungan maruah Asia Tenggara vs Asia Selatan cukup menarik untuk disaksikan seluruh pemerhati tempatan dan luar negara walaupun Bangladesh sudah pun tersingkir daripada perebutan ke pusingan akhir.

Malaysia pimpinan Kim Pan-gon masih ada satu lagi misi hidup mati di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa kerana dalam kepala hanya perlu menang tanpa memikirkan dahulu persoalan layak atau tidak berbanding Bengal Tigers yang dijangka bermain santai bagi melengkapkan jadual pertandingan.

Ia sudah tentu akan menghadirkan tekanan, serabut perut bukan sahaja kepada pemain tercinta dan rakyat Malaysia yang akan setia berada di hadapan kaca televisyen termasuk mereka yang hadir ke Bukit Jalil !

Mohammad Ibrahim adalah satu-satunya pemain tengah Bangladesh yang menjaringkan gol untuk pasukannya setakat ini.

Menurut analisis jurulatih antarabangsa Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah, rekod pertemuan lalu menjadi ukuran yang membuktikan negara lebih bagus jika dibandingkan pasukan lawan yang kini menduduki ranking 188 FIFA.

Malahan, ketika dihubungi Flash Sukan dari Dhaka, Bangladesh Raja Isa sempat mendedahkan tips berguna buat Pan-gon dan pasukan teknikal membuat kajian sebelum sepak mula berlangsung.

“Pemain No 4 (Rayhan) dan No 5 (Badsha) dilihat kelam kabut menjaga benteng pertahanan semasa perlawanan dengan Turmenistan. Jadi, kita perlu memanfaatkan menyerang daripada bahagian ini untuk menjaringkan gol.

“Kedua, serangan balas Bangladesh nampak macam berbahaya tapi tidak sebenarnya. Mereka kurang kreatif di bahagian hadapan dan tidak miliki penyerang boleh mencetak gol dalam dua permainan lepas berbanding kita ada Faisal (Halim), Akhyar (Rashid), Safawi (Rasid) dan Darren Lok serta beberapa lagi pemain.

“Cuma yang perlu diawasi betul-betul adalah kepantasan pemain lawan yang licik seperti Sohel Rana, Jafar Iqbal dan Mohammad Ibrahim. Pergerakan mereka ini harus segera disekat pemain negara,” kata jurulatih kelahiran Ampang, Selangor itu.

Corak permainan Harimau Malaya cukup berbeza sejak dikendalikan Pan-gon.

Pada hemat Raja Isa yang kini membimbing kelab Muktijoddha Sangsad KC, mutu permainan Harimau Malaya semakin meningkat dan semasa bertemu Bahrain mengingatkannya kepada era 1980-an yang pada masa itu dibarisi James Wong, Hassan Sani dan Khalid Ali mara ke Sukan Olimpik 1980 yang diadakan di Moscow.

“Bezanya kita kalah sahaja pada malam itu. Tapi secara keseluruhan ia benar-benar mengimbas semula… saling tak tumpah. Saya optimis rentak sebegini mampu dijelmakan untuk saingan terakhir kumpulan.

“Kita boleh atasi Bangladesh, cuma kena fokus dan elak buat lagi kesilapan kecil yang merugikan pasukan,” ujarnya mahu penyokong Malaysia terus bagi sokongan padu kepada Pan-gon dan skuad negara.

Rekod kedua-dua pasukan menyaksikan negara pernah kalah 2-1 semasa kejohanan Sukan Asia 1982 di New Delhi, India dan ia menjadi inspirasi anak buah Javier Fernandez Cabrera melakukan kejutan.

“Peluang nak menang 50-50 andai melihat sejarah rekod pertemuan. Tetapi saya percaya Malaysia mampu mengakhiri 90 minit dengan nota kemenangan,” katanya penuh yakin.

De Paula tak sesuai gaya Pali Pali Pan-gon yang pantas dan cepat.

Menyentuh kritikan berterusan terhadap Guilherme De Paula di atas padang, Raja Isa menilai gaya Pali Pali Korea diterapkan mungkin tidak sesuai buat pemain naturalisasi negara itu untuk pertandingan bertempo pantas dan laju.

Para peminat juga mempersoalkan pemilihan De Paula untuk diturunkan dalam perlawanan berkenaan kerana rata-rata netizen melihat dia langsung tidak menyumbang dan lebih banyak berjalan ketika berada di atas padang.

“Netizen boleh luahkan kemarahan, tapi bagi saya kita harus hormati pemilihan Pan-gon sebagai ketua jurulatih.

“Mungkin dia diturunkan 20 minit terakhir sebagai perancangan strategi taktikal.

“Namun Pan-gon boleh hurai dan jawab isu selepas ini kepada pihak media kenapa dia masih simpan De Paula dalam pasukan walaupun ada lagi pemain lain yang berpotensi lebih menyinar,” katanya melihat emosi penyokong lebih tertumpu kepada De Paula.

Piala Asia 2023 akan menjadi edisi ke-18 Piala Asia, sebuah kejohanan bola sepak antarabangsa yang dianjurkan oleh Gabungan Bola Sepak Asia (AFC). Ia akan diadakan di China bermula 16 Jun hingga 16 Julai 2023.

China pada mulanya akan menjadi tuan rumah kejohanan itu. Namun, disebabkan keadaan pandemik COVID-19, mereka tidak akan dapat menjadi tuan rumah kejohanan itu.

“Saya harap stadium kita kembali dipenuhi walaupun Selasa adalah hari bekerja. Inilah masa kita mencipta sejarah baru di bumi sendiri. Ayuh, datanglah beramai-ramai. Kita gegar stadium dan kami tetap menitipkan kejayaan pasukan kebangsaan. Selamanya Harimau Malaya !,” katanya sebelum menamatkan perbualan telefon.

Kali terakhir Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit adalah 42 tahun lalu di Kuwait 1980.

Sebagai rekod, skuad bola sepak kita beraksi dalam saingan Piala Asia edisi 2007, apabila empat buah negara di Asia Tenggara menjadi tuan rumah iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Malaysia yang menduduki tangga kedua kumpulan E mengharapkan kemenangan dengan skala jaringan besar pada perlawanan itu dalam usaha melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2023.

Bahrain berada di tangga teratas kumpulan dengan enam mata diikuti Malaysia (3 mata) dan tempat ketiga Turkmenistan ( 3 mata) sementara Bangladesh di kedudukan tercorot.