Penjaga gol Arsenal, David Raya dianggap antara terbaik dunia selepas aksi cemerlangnya membantu Arsenal menewaskan Sporting Lisbon 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Raya muncul wira pasukan apabila melakukan tiga aksi menyelamat penting untuk memastikan gawang Arsenal tidak dibolosi dalam perlawanan yang menyaksikan mereka bergelut mencari rentak permainan.
Antara aksi terbaiknya termasuk menepis percubaan Maxi Araujo ke palang, menyelamatkan rembatan rendah Geny Catamo serta menafikan tandukan pemain sama pada penghujung babak kedua.
Prestasi cemerlang penjaga gol Sepanyol itu membolehkan Arsenal kekal bersaing sebelum pemain gantian, Kai Havertz, menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan hasil hantaran Gabriel Martinelli.
Havertz tidak teragak-agak memuji Raya dengan berkata penjaga gol itu masih dipandang rendah, namun baginya adalah yang terbaik dunia sejak dua musim lalu.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, turut senada apabila menyifatkan Raya berada pada tahap prestasi yang sangat tinggi sejak menyertai pasukan.
“Ketika ini dia fenomenal dan luar biasa. Kami sangat bertuah memilikinya. Dalam Liga Juara-Juara, detik seperti ini sering ditentukan di dalam kotak penalti,” kata Arteta.
Raya pula mengakui aksi menyelamat awalnya menjadi titik perubahan dalam perlawanan.
“Saya rasa itu detik penting. Ia serangan pantas dan rembatan yang baik, tetapi saya berjaya menyentuh bola hingga terkena palang. Momen seperti itu boleh mengubah perlawanan.
“Saya cuba membantu pasukan dalam setiap situasi, bukan sahaja bertahan tetapi juga mengawal permainan. Anda perlu sentiasa fokus walaupun tidak banyak menyentuh bola,” kata Raya.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal kembali ke landasan kemenangan selepas dua kekalahan berturut-turut, sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk mara ke separuh akhir menjelang aksi timbal balik pada 15 April ini. – AFP