Real Madrid menewaskan Atletico Madrid 2-1 pada separuh akhir Piala Super Sepanyol yang sengit, awal pagi tadi, untuk menempah pertembungan Clasico menentang Barcelona di final.
Sepakan percuma kencang Federico Valverde dan jaringan Rodrygo Goes memastikan kemenangan kelima berturut-turut Real Madrid dalam semua pertandingan, manakala gol Alexander Sorloth gagal menyelamatkan Atletico kendalian Diego Simeone.
Pengurus Real Madrid, Xabi Alonso sebelum ini hampir dipecat susulan prestasi tidak menentu sepanjang hujung 2025, namun pasukannya kini perlahan-lahan menemui rentak menerusi keputusan positif, walaupun sebahagian persembahan masih belum benar-benar meyakinkan.
Jurulatih warga Sepanyol itu pernah mengemudi Real Madrid menewaskan Barcelona pada aksi Clasico pertamanya Oktober lalu, sebelum prestasi pasukan merudum selepas itu.
“Selepas sekian lama tidak menjaringkan gol, perlawanan hari ini amat baik untuk kembali membantu pasukan menang,” kata Valverde kepada Movistar selepas meledak gol pertamanya musim ini.
“Kami juga perlu terus mengkritik diri sendiri, kami ada peluang tetapi mereka lebih banyak dan bermain lebih baik daripada kami, kami perlu perbetulkan dan terus memperbaikinya.”
Bagaimanapun, Alonso tidak sependapat dengan pandangan Valverde.
“Ia perlawanan separuh akhir, menjaringkan gol awal memberi kelebihan yang kami mahu pertahankan,” kata beliau.
“Ada fasa kami bertahan, tetapi objektifnya adalah mara ke final dan kami gembira dapat bermain di sana pada Ahad ini.”
Tanpa bintang Perancis, Kylian Mbappe yang masih memulihkan diri daripada kecederaan lutut, Alonso mengekalkan penyerang muda Gonzalo Garcia di posisi tengah selepas hatriknya menentang Real Betis, Ahad lalu.
Atletico sebelum ini membelasah seteru bandar mereka 5-2 dalam aksi musuh tetangga La Liga pada September lalu, namun pertemuan kali ini jauh lebih seimbang. – AFP