IMPIAN Real Madrid untuk menambah koleksi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah ke-16 musnah apabila mereka disingkirkan Arsenal dengan agregat mengejutkan 5-1 dalam aksi suku akhir.

Kekalahan 2-1 di Santiago Bernabeu awal pagi tadi menjadi noktah buat skuad kendalian Carlo Ancelotti yang sebelum ini juara bertahan kejohanan elit Eropah tersebut.

Carlo Ancelotti, pengurus paling berjaya dalam sejarah UCL dengan lima trofi, menerima kekalahan ini dengan hati terbuka dan mengakui Arsenal sememangnya lebih layak mara ke separuh akhir.

Jurulatih Real Madrid Carlo Ancelotti

“Kita kena jujur, dalam dua perlawanan ini, Arsenal lebih berhak. Mereka layak ke separuh akhir,” ujar jurulatih dari Itali itu.

Aksi di Bernabeu pada awalnya kelihatan seperti satu lagi kebangkitan epik bakal berlaku. Thibaut Courtois berjaya menafikan sepakan penalti awal Bukayo Saka, dan sejurus selepas itu, Madrid diberikan penalti selepas Kylian Mbappe dijatuhkan Declan Rice.

Namun, VAR ‘mematikan’ harapan itu apabila membatalkan keputusan tersebut selepas semakan panjang.

Ancelotti mengakui momen itu menjadi titik tolak yang menjejaskan psikologi pasukannya.

“Untuk ubah momentum, kami perlukan sesuatu yang positif, seperti penalti itu.

“Tapi selepas ia dibatalkan, kami tidak mampu mengubah arus permainan seperti yang berlaku pada aksi pertama,” katanya.

Meskipun tersingkir dalam kejohanan Eropah, Ancelotti menegaskan musim Real Madrid masih belum tamat.

Liga Juara-Juara – Suku Akhir – Perlawanan Kedua – Real Madrid lwn Arsenal – Santiago Bernabeu, Madrid, Sepanyol – 16 April 2025 Thibaut Courtois dari Real Madrid menyelamatkan sepakan penalti dari pemain Arsenal, Bukayo Saka :REUTERS.

Mereka kini berada empat mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona, selain masih bersaing dalam final Copa del Rey serta Piala Dunia Kelab.

“Sekarang masa untuk angkat kepala dan belajar dari kesilapan. Ya, sedih hari ini tapi saya langsung tidak risau tentang bagaimana pemain saya akan bertindak balas.

“Kami akan bangkit, belajar dari pengalaman ini dan kembali lebih kuat untuk perlawanan seterusnya,” tambahnya penuh yakin.

Real mungkin telah kehilangan takhta Eropah, tetapi dengan El Clasico, Copa del Rey dan Piala Dunia Kelab menanti, perjuangan mereka masih jauh dari selesai.