HAJAT Manchester United untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan mungkin gagal selepas Luke Shaw cedera parah dan diancam akan tersisih sehingga akhir musim.

Kecederaan yang dialami oleh Luke Shaw semasa United menang 2-1 ke atas Luton Town hujung minggu lalu adalah serius. Ini kerana, kecederaan kaki itu menjadi kecederaan berulang Shaw. Dalam perlawanan itu, Shaw terpaksa digantikan oleh Victor Lindelof pada minit 45+2.

Pemain berusia 28 tahun itu dilaporkan terkial-kial dalam perjalanan ke bas Man United selepas perlawanan. Dipetik daripada Mirror, Shaw mungkin terlepas baki 13 perlawanan MU dalam Liga Perdana.

Kecederaan serius yang dialami Shaw merupakan tamparan hebat buat Red Devils dan Erik ten Hag, yang berkeyakinan tinggi ke arah empat teratas dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris.

Image

Luke Shaw dijangka terlepas baki musim ini.

Shaw adalah satu-satunya bek kiri tulen yang tinggal dalam skuad Red Devils. Seorang lagi pemain pertahanan kiri, Manchester United Tyrell Malacia turut cedera dan perkembangan pemulihannya masih belum diketahui.

Sementara itu, pemain pinjaman dari Tottenham Hotspur, Sergio Reguilon, dipinjamkan ke Brentford. Dengan kecederaan Shaw, Manchester United hanya mempunyai Diogo Dalot, satu-satunya fullback tulen, kerana Aaron Wan-Bissaka juga cedera.

Jika Wan-Bissaka tersedia, Ten Hag biasanya menggantikan Dalot sebagai bek kiri. Krisis fullback ini boleh mengganggu rancangan MU untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

Manchester United akan menghadapi kesukaran jika terpaksa bermain tanpa bantuan serangan dari bahagian kiri pertahanan. Pemain seperti Shaw yang boleh membantu menyerang dengan hantaran lintang amat diperlukan oleh kelab. Lebih-lebih lagi, Shaw juga menjadi penyepak sepakan sudut utama Manchester United setakat ini.

Image

Jonny Evans (kiri) alternatif bermain di posisi pertahanan kiri Manchester United

Melihat kepada senarai pemain semasa, nama seperti Sofyan Amrabat dan Jonny Evans berpeluang bermain sebagai bek kiri. Alternatif lain ialah Christian Eriksen dan Mason Mount, yang biasanya bermain sebagai pemain tengah kiri.

Namun, memandangkan mereka tidak lagi muda, Evans dan Eriksen akan menghadapi kesukaran jika diminta bergerak aktif ke atas dan ke bawah untuk membantu menyerang.