WIRA sepakan percuma Chelsea, Reece James, meluahkan kekecewaannya terhadap rakan sepasukan selepas pasukan itu sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris, pada Rabu.
James, yang menyelamatkan satu mata buat Chelsea dengan sepakan percuma cemerlang di masa kecederaan, tidak berpuas hati dengan kegagalan pasukannya menyempurnakan peluang yang dicipta sepanjang perlawanan.
Chelsea terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Cole Palmer, namun penalti daripada Justin Kluivert dan penyudah menarik Antoine Semenyo hampir memberikan kemenangan kepada Bournemouth sebelum James menyamakan kedudukan.
Statistik menunjukkan skuad bimbingan Enzo Maresca melakukan 26 percubaan dengan 10 daripadanya tepat ke arah gol, berbanding hanya tujuh percubaan oleh Bournemouth.
Namun, ketiadaan penyudah klinikal memaksa Chelsea bergantung kepada detik keemasan James di penghujung permainan.
“Ada perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan ini, bangkit daripada ketinggalan untuk mendapatkan satu mata.
“Tetapi ada juga aspek negatif, iaitu kegagalan menyempurnakan peluang, perasaan saya bercampur-baur,” kata James kepada TNT Sports.
Apabila ditanya sama ada keputusan seri itu adil atau tidak, James dengan yakin meluahkan perasaan.
“Sejujurnya, saya rasa tidak kerana kami mempunyai beberapa peluang keemasan di separuh masa pertama yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menghabiskan perlawanan.
“Jika anda tidak mengambil peluang, perkara itu boleh kembali ‘menggigit anda’ di kemudian hari dan ini adalah realiti dalam bola sepak di seluruh dunia,” luah James.

Reece James muncul sebagai wira Chelsea apabila berjaya meledak gol menerusi sepakan percuma yang begitu kemas.
Kenyataan itu jelas menggambarkan kekecewaan James terhadap rakan sepasukannya yang tidak cukup klinikal di depan gol, meskipun menguasai perlawanan dengan dominasi peluang dan percubaan.
Keputusan ini meletakkan Chelsea di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, dua mata di hadapan Newcastle United yang berada di tempat kelima dengan satu perlawanan di tangan.