TAN Cheng Hoe bukanlah satu nama asing buat peminat-peminat bola sepak tempatan.
Sosok inilah yang sentiasa menjadi bahan bualan ketika ditugaskan membimbing pasukan kebangsaan tetapi kata orang, air pun ada pasang surutnya dan perjalanan Cheng Hoe juga tempiasnya.
Selepas melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Harimau Malaya pada Januari lalu, bekas pengendali Kedah Darul Aman ini dilihat menyepi daripada arena bola sepak tempatan.
Ada yang merindui kelibatnya di tepi padang sekali gus timbul desas-desus membabitkan khabar angin berkenaan masa depan beliau selepas kejohanan Piala Suzuki AFF 2020 Singapura pada Disember lalu menjadi pentas terakhir buat Cheng Hoe menjadi selaku ketua jurulatih.
Ikuti temubual FlashSukan bersama Cheng Hoe berkaitan masa depannya dan komen beliau terhadap pasukan kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-Gon.
FlashSukan: Apa khabar saudara dan bolehkah anda bercerita mengenai perkembangan anda sehingga hari ini?
Cheng Hoe: Khabar baik dan buat masa ini saya sedang menikmati masa lapang saya dan saya fikir saya telah bersedia untuk membuat penampilan kembali dalam bola sepak dalam tempoh terdekat jika diberikan peluang.
FlashSukan: Apa yang dimaksudkan anda kembali dalam tempoh terdekat? Adakah anda telah menerima beberapa tawaran daripada pasukan-pasukan?
Cheng Hoe: Oh tidak, buat masa ini saya tidak menerima apa-apa tawaran tetapi semua mengetahui bahawa kali terakhir saya bersama pasukan adalah bersama Harimau Malaya pada tahun lalu.
Setiap orang memerlukan masa dalam tempoh bertenang dan saya juga tidak terkecuali. Saya menggunakan kesempatan itu dengan meluangkan masa bersama keluarga tetapi asal usul saya adalah bola sepak dan sudah pasti saya telah bersedia untuk kembali beraksi kerana itulah keghairahan saya di dalam bola sepak selama ini.
FlashSukan: Katakan anda menerima tawaran untuk membimbing pasukan junior, bukannya senior, adakah anda bersedia untuk menerimanya?
Cheng Hoe: Menerima tawaran daripada mana-mana pasukan menjadi satu penghormatan cukup besar buat diri saya tetapi secara peribadi, saya lebih fokus atau berminat untuk menguruskan pasukan senior.
Bukan saya mahu menolak membimbing pasukan bawah umur tetapi saya percaya peluang ini seharusnya dimanfaatkan oleh jurulatih-jurulatih muda yang mahu membentuk karier mereka dan saya fikir tawaran untuk membimbing pasukan utama adalah lebih revelan.
Ini kerana jika boleh kita mahu menyaksikan lebih ramai jurulatih yang berkualiti dilahirkan dan saya tidak fikir perbuatan (menerima menjadi jurulatih bawah umur) akan membantu pembangunan jurulatih. Jadi, lebih molek saya mencari tawaran menjadi jurulatih pasukan utama.

Cheng Hoe sentiasa bersedia membuka fasa baharu sekiranya ada tawaran yang bersesuaian.
FlashSukan: Sekiranya anda menerima tawaran daripada luar negara, adakah anda sudah bersedia?
Cheng Hoe: Seperti saya katakan tadi, sudah pasti ia menjadi satu penghormatan besar buat saya dan saya sudah pasti akan menilai tawaran itu dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan.
Namun ia menjadi satu impian buat pemain atau jurulatih untuk mengembangkan karier mereka di luar negara dan jika saya mendapat tawaran yang positif, kenapa tidak?
FlashSukan: Anda telah meninggalkan Harimau Malaya pada Januari lalu dan sejak peninggalan anda, apakah komen selepas melihat pasukan kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-Gon?
Cheng Hoe: Saya sebagai pemerhati dari luar sentiasa memberikan sokongan teguh kepada pasukan kebangsaan biarpun jodoh saya bersama Harimau Malaya sudah berakhir.
Kita sebagai rakyat Malaysia haruslah memberikan sokongan penuh, tidak kira siapakah jurulatih itu dan sudah pasti saya nampak beberapa perubahan positif berlaku di dalam pasukan kebangsaan.
Dan saya telah melihat pasukan kebangsaan memiliki peningkatan dan ada anjakan sejak memiliki jurulatih baharu di mana ia bagus dengan Kim Pan-Gon memiliki set panel kejurulatihan beliau.
Saya berharap pasukan ini lebih yakin dan berjaya di kelayakan Piala Asia 2023 dan saya mendoakan yang terbaik kepada pasukan kebangsaan.