SELANGOR FC terus melangkah dengan lebih berani apabila menyahut cabaran untuk membuat penambahan enam pemain import, termasuk 4+1 (Asia)+1 (Asean), dalam skuad mereka.

Pengendalinya, Tan Cheng Hoe mengulas perkara tersebut dan penuh yakin menyatakan bahawa langkah ini akan memberikan nafas baru kepada Liga Malaysia.

Menurutnya, perubahan tersebut dilihat sebagai satu cabaran yang memberi peluang untuk mencipta kelainan yang lebih positif bagi meningkatkan prestasi pasukannya.

Sebagai seorang jurulatih, beliau turut mengakui tanggungjawab besar yang digalas untuk menilai kualiti anak buahnya sama ada pemain tempatan atau import.

“Ini adalah perkembangan baharu dalam Liga M dan saya menyahut cabaran tersebut di mana sudah tentu ini akan beri peluang kepada pemain tempatan dan import untuk terus bersaing secara sihat.

“Pemain tempatan sudah tentu perlu pastikan mereka mampu untuk merebut kesebelasan utama dan jika kelab mampu untuk dapatkan 10 pemain import juga, saya tiada masalah.

“Dan kalau kita sudah ambil pemain import, tetapi mereka tidak boleh beri impak yang terbaik, saya harus gunakan pemain tempatan juga.

“Saya juga yakin bahawa kehadiran pemain import berkualiti dapat mengangkat mutu permainan, mencipta persaingan yang lebih sengit, dan membentuk pemain tempatan yang lebih kompetitif,” ujar Cheng Hoe.

Sementara itu, Selangor sebagai salah satu pasukan yang mampu mengikat 10 pemain import untuk bersiap sedia menyertai AFC Champions League 2 (ACL 2).

Cheng Hoe juga tidak menafikan bahawa musim ini akan menjadi lebih mencabar, terutamanya selepas pasukannya berjaya menjadi naib juara Liga Super pada musim lalu.

“Musim ini bukan hanya untuk Liga Super, tetapi juga ACL 2. Oleh itu, pemain perlu fokus dan meningkatkan prestasi individu serta kesiapan fizikal untuk menghadapi cabaran yang besar ini,” tegasnya.

Selangor FC dijadualkan akan memulakan latihan rasmi hari ini, 5 Februari sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran baru dalam Liga Malaysia yang semakin kompetitif sekali gus saingan ACL 2.