BERBASIKAL trek tanpa Datuk Azizulhasni Awang tidak perlu menjadi kebimbangan buat Malaysia selepas ini, kerana Muhammad Shah Firdaus Sahrom, sudah bersedia menjadi pengganti yang paling sesuai.

Perkara itu ditegaskan The Pocket Rocketman sendiri, yang mengatakan bahawa persaraannya tidak akan menjejaskan reputasi basikal trek negara.

“Selama ini kami saling push dalam latihan dan saya rasa sudah cukup sokongan saya selama ini, Shah sudah bersedia ambil tempat saya.

“Jika selama ini ada pihak yang mengatakan Shah dibayangi saya, sebenarnya tidak.

“Setiap pelumba ada journey dia sendiri, saya ada journey saya dan pasti berbeza dengan Shah mahupun Izzah (Nurul Izzah Izzati Mohd Asri),” kata Azizulhasni.

Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus akan bersama-sama memburu matlamat emas Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Apabila ditanya, siapa pula bakal menjadi faktor yang boleh menolak dan melonjak prestasi Shah Firdaus, juara dunia 2017 itu tersenyum.

Sambil tertawa kecil, Azizulhasni berkata: “Adik Shah… awak tak tahu wakti latihan kami, saya sendiri terkejut melihat kayuhan adik Shah.

“Dia memang nampak seperti seorang yang ‘degil’ juga. Kalau kami berlatih bersama atlet pelapis lain, dapat kelihatan mereka gugup dan kerana gugup itu akan sebabkan kita kehilangan banyak tenaga.

“Tapi Boy lain, dia buat saya ‘berdebor’ (berdebar), dia tak ada takut-takut, sentiasa bagi cabaran yang baik dalam latihan.

“Kadang-kadang dalam latihan dia kalahkan saya, jadi saya gembira, terbit rasa baguslah dia sudah ada keyakinan.”

Muhammad Ridwan (kiri) mampu menjadi faktor kemajuan Shah Firdaus.

Azizulhasni merujuk kepada Muhammad Ridwan Sahrom, adik kepada Shah Firdaus sebagai pelumba masa hadapan negara.

Malah menurutnya, dia mensasarkan Ridwan mampu melakukah kayuhan pecut di bawah 10 saat (s) pada Piala Negara-Pengara UCI di Milton, Kanada April lalu.

Menurut pelumba dari Dungun, Terengganu itu lagi perkara yang menghalang Ridwan ketika ini hanyalah pengalaman.

Justeru, Azizulhasni menegaskan dia tidak berhasrat menangguhkan persaraannya selepas Sukan Olimpik Paris 2024.