SUKAN sepak takraw tanah air menerima suntikan semangat baharu apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM1.5 juta setahun kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi merealisasikan Program Pembangunan Sepaktakraw Negara (NSTDP).

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, ketika melancarkan program berkenaan yang menyasarkan pencarian bakat di peringkat akar umbi.

Menurut Hannah, peruntukan itu bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya akan disalurkan terus ke lapangan demi melahirkan barisan pelapis yang mampu menggalas cabaran negara suatu hari nanti.

“Dengan adanya NSTDP, kita boleh bina kelompok pemain yang lebih besar. Bakat-bakat ini boleh dicungkil seawal mungkin,” katanya, selepas Majlis Pelancaran Program NSTDP di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Hannah turut menyifatkan sepak takraw sebagai sukan rakyat yang tidak membebankan dari segi kos, sekali gus berpotensi besar untuk dikembangkan secara menyeluruh, termasuk dalam komuniti Orang Asli dan golongan wanita di luar bandar.

“Sepak takraw bukan sukan mahal. Ia popular dan dekat dengan masyarakat. Kita perlu bangunkan secara serius dan berstruktur,” katanya.

Tambah beliau, kementeriannya akan terus memantau rapat perkembangan sukan itu melalui jawatankuasa khusus di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), selain memberi sokongan penuh terhadap pelan pembangunan yang sudah dirangka oleh PSM.

“Kita nampak ada pelan yang teliti. KBS akan beri apa saja sokongan diperlukan demi masa depan sukan ini,” katanya.

Dalam masa sama, lebih 70 pemegang taruh daripada pelbagai agensi – termasuk MSN, PSM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri, turut menyertai bengkel NSTDP bagi memperkemas pelaksanaan program.