LEGENDA tenis dunia, Roger Federer mengumum persaraan daripada sukan yang membawa banyak kemenangan dan juga kenangan.
Menerusi ciapan di Twitter, Federer berkongsi kenyataan rasmi mengenai persaraannya, malah dia mengesahkan penyertaan di Piala Laver di London, minggu depan sebagai kejohanan ATP terakhirnya.
Bintang tenis Switzerland itu memenangi 20 gelaran Grand Slam, memahat namanya sebagai pemain tenis lelaki ketiga paling banyak meraih gelaran sepanjang zaman.
Dalam kenyataan rasminya empat muka surat, Federer menjelaskan rentetan kecederaan dialami, antara punca dia perlu berundur dari dunia tenis.
“Semua orang tahu sejak tiga tahun lalu, saya berdepan banyak kecederaan dan melalui banyak siri pembedahan. Saya berkerja keras untuk kembali ke tahap kompetitif.
“Dalam masa sama, saya tahu kemampuan badan saya dan hadnya, ia satu petunjuk jelas. Saya sudah berusia 41 tahun, bermain dalam lebih 1,500 perlawanan sepanjang 24 tahun ini,” katanya.
— Roger Federer (@rogerfederer) September 15, 2022
Antara ayat dalam kenyataan rasminya yang amat menyentuh perasaan, apabila dia menyatakan; “Tennis has treated me more generously than I ever would have dreamt, and now I must recognize when it is time to end my competitive career.”
Kali terakhir Federer beraksi adalah pada Tenis Terbuka Wimbledon tahun lalu dan dia mara ke suku akhir.
Gelaran terakhir dirangkul Federer pada Grand Slam Terbuka Australia 2018, ketika dia berusia 36 tahun, menjadikannya lelaki kedua paling tua memenangi kejohanan major.
Sepanjang keriernya, Federer mengumpul 103 kejuaraan perseorangan di Jelajah ATP dan menduduki ranking nombor satu dunia selama 237 minggu berturut-turut sejak Februari 22004 hingga Ogos 2008, satu rekod yang masih dipegangnya.
Pasti sukar buat Federer membuat keputusan ini namun kecederaan lutut menghalangnya daripada kembali ke zaman kegemilangan.
Mana tidaknya, kecederaan itu membataskannya apabila hanya beraksi dalam tiga daripada 11 Grand Slam sejak 2020.
“Saya mahu berterima kasih kepada musuh saya di gelanggang. Saya bertuah kerana dapat bermain dalam banyak perlawanan epik yang tidak mungkin saya lupakan. Kita bersaing secara adil, dengan keghairahan dan intensiti malah saya sentiasa memberikan yang terbaik demi menghormati sejarah perlawanan,
“Saya amat bersyukur. Kita mendesak satu sama lain dan bersama-sama membawa tenis ke tahap baharu,” katanya lagi.