HAKIM Amerika Syarikat, Jennifer Dorsey telah menggugurkan kes rogol yang disabitkan kepada bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang dituduh merogol bekas model dan guru dari Amerika Syarikat, Kathryn Mayorga.
Perintah itu dikeluarkan mahkamah setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan adanya keraguan munasabah bagi mensabitkan penyerang Manchester United terhadap tuduhan tersebut.
Kes ini bermula pada tahun 2009 setelah Kathryn keluar bersama Ronaldo di sebuah kelab malam di Las Vegas, dan dia menuduh idola Manchester United itu telah melakukan gangguan seksual terhadapnya semasa berada di hotel pada malam tersebut.
Bagaimanapun, Ronaldo dengan keras menyangkal dakwaan tersebut dengan menegaskan dia tidak pernah terfikir untuk melakukan jenayah rogol sambil menyifatkan tuduhan tersebut adalah tidak berasas.
“Saya harus membersihkan nama saya daripada tuduhan sebegini, dan tidak faham mengapa dia (Kathryn) ingin menjadi popular menerusi publisiti seperti ini,” kata Ronaldo.
Lain pula kata bekas model itu, dia menjelaskan Ronaldo dilepaskan daripada sebarang tuduhan hanya kerana dia adalah selebriti terkenal tetapi tidak mengetahui karakter sebenarnya.
“Manchester United telah mengagungkannya sebagai pahlawan, dan mengambil langkah selamat untuk tidak membicarakan tentang kes rogol terhadapnya, saya hanya mahukan keadilan,” ujarnya kepada BBC.
Sementara itu, hakim membuat keputusan tersebut sambil menyifatkan ia adalah satu tindakan yang diambil untuk menjatuhkan reputasi Ronaldo sebagai seorang pemain yang hebat.
“Saya mendapati kenyataan dan dokumen yang ditunjukkan sebagai bukti adalah berniat jahat dan ingin menjatuhkan Ronaldo,” semasa ditemuramah wartawan.
Kronologi kes kontroversi ini telah ‘sejuk’ dalam tempoh yang agak lama sebelum Kathryn kembali membangkitkan tuduhan terhadap Ronaldo pada 2018 kerana dikatakan mengalami gangguan emosi ekoran tragedi yang didakwa menimpanya pada 2009, sebelum disudahkan dengan keputusan hakim yang masih memihak Ronaldo.