PENGURUS Chelsea FC, Liam Rosenior tekad memburu dalang yang membocorkan kesebelasan utama pasukannya sebelum kekalahan 2-5 kepada Paris Saint-Germain F.C. (PSG) ketika aksi pusingan 16 terakhir, Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Maklumat tersebut bocor di sosial media kira-kira lapan jam sebelum sepak mula susulan laporan wartawan Perancis.

Antara butiran yang tersebar termasuk keputusan menurunkan Filip Jorgensen sebagai penjaga gol utama menggantikan Robert Sanchez dalam aksi pertama.

Keputusan mempertaruhkan Filip Jorgensen menjadi mimpi ngeri apabila kesilapannya membuka ruang kepada Paris Saint-Germain F.C. untuk mendahului 3-2 pada minit ke-76 selepas percubaan hantaran dari kawasan sendiri gagal.

Menurut Rosenior, Jorgensen, 23 telah mengakui kesilapannya di bilik persalinan selepas perlawanan berakhir.

Selepas mendahului, PSG menjauhkan jurang apabila menambah dua gol lagi bagi memastikan kemenangan bagi pertemuan pertama ini.

“Saya tidak sedar perkara itu,” kata Liam Rosenior selepas perlawanan apabila diberitahu bahawa kesebelasan utamanya telah tular di sosial media sejak tengah hari.

“Saya pasti kami akan mencari puncanya jika perkara itu benar berlaku. Perkara seperti ini sering berlaku sekarang.

“Kami juga memperoleh maklumat mengenai lawan kami. Saya lebih bimbang mengenai keputusan akhir berbanding apa yang berlaku sebelum perlawanan.”

Selepas ini, Chelsea F.C. bersiap untuk menentang Newcastle United F.C. dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam esok, bersiap untuk mencatat kemenangan penting.

Sementara, PSG dapat menikmati hujung minggu rehat selepas menangguhkan perlawanan Ligue 1 bagi membolehkan pemain mereka pulih menjelang aksi timbal balik di Stamford Bridge Selasa depan.

Selepas meraih kemenangan yang memberi kelebihan kepada PSG, ada pihak berpendapat bahawa pasukan ini tidak begitu memerlukan penangguhan perlawanan tersebut.