PENGURUS baharu Chelsea, Liam Rosenior menegaskan beliau bersedia menggalas tekanan besar mengendalikan kelab gergasi itu sambil berazam membuka potensi “tanpa had” yang dimiliki The Blues menjelang perlawanan sulungnya, awal pagi esok.

Rosenior, 41, disahkan sebagai ketua jurulatih Chelsea pada Selasa lalu dengan kontrak hingga tahun 2032, menggantikan Enzo Maresca yang meninggalkan kelab pada Hari Tahun Baharu.

Beliau menjadi pengurus tetap keempat dilantik sejak pengambilalihan Todd Boehly pada 2022.

“Peralihan pengurus sekarang memang amat tinggi,” kata Rosenior menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA menentang kelab Liga Kejuaraan, Charlton Athletic.

“Tekanan itu hadir sejak hari pertama dan jika saya tidak sanggup memikul tekanan serta keistimewaan ini, saya tidak akan berada di sini. Jika takut, tiada gunanya menjadi jurulatih.”

Pelantikannya turut dipermudahkan apabila Strasbourg dan Chelsea berada di bawah struktur pemilikan berbilang kelab sama BlueCo, yang mengambil alih kelab Perancis itu pada 2023.

“Ketika saya tiba di Strasbourg, saya dipersendakan media dan mereka kata pasukan saya akan menamatkan saingan di tangga tercorot,” katanya.

“Saya dianggap bukan siapa-siapa dari England, namun kami hanya ketinggalan tiga mata daripada slot Liga Juara-Juara.

“Saya tidak menjanjikan apa-apa, tetapi saya bekerja ke arah itu dan saya benar-benar percaya kami boleh berjaya di sini.”

Cabaran awal Rosenior adalah mengekang kemerosotan prestasi Chelsea selepas hanya mencatat satu kemenangan dalam sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), yang menyaksikan mereka kini di tangga kelapan dengan 31 mata daripada 21 perlawanan.

“Ia satu tempoh sukar dalam liga yang sangat kompetitif,” katanya.

“Kami bukan satu-satunya kelab yang melalui fasa mencabar. Kadangkala suara baharu membantu, tetapi kami tidak jauh tersasar dan itu penting untuk difahami pemain.

“Potensi kelab ini tidak terbatas dan saya tidak akan mengehadkan sesuatu yang tiada batas.”

Rosenior menerima tamparan awal pada Rabu lalu apabila menyaksikan Chelsea tewas 1-2 kepada Fulham, dengan isu disiplin pasukan kini menjadi antara keutamaan yang perlu ditangani. – REUTERS