PASUKAN Sabah FC kini akan mempersiapkan pasukan bermula 10 Januari bagi menghadapi Macarthur FC dari Australia pada aksi zonal semi final Piala AFC yang dijadualkan pada 13 Februari 2024.
Skuad Badak muncul wakil tunggal Malaysia ke pusingan kalah mati kejohanan kelab Asia selepas menjuarai Kumpulan H di hadapan Haiphong FC, PSM Makassar dan Hougang United.
Bagaimanapun, Sabah masih dibelenggu masalah kelewatan pembayaran gaji yang dilaporkan mencecah dua bulan bagi pemain dan tiga bulan bagi kakitangan namun segalanya akan diselesaikan menjelang aksi Piala AFC itu.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengurus Pasukan, Joh Wid yang dihubungi FLASH SUKAN dengan para pemain sudah mempunyai pemahaman dan persetujuan tentang perkara ini.
“Kami mempunyai jadual pembayaran tunggakan dan kami mempunyai rancangan untuk mengatasi masalah ini tetapi kebanyakan tunggakan gaji sudah diselesaikan dan bakinya akan dibayar sebelum kita bertemu Macarthur,” katanya.
Dalam masa yang sama, Joh tetap percaya Sabah mampu untuk mengatasi Macarthur seterusnya Stadium Likas bakal menjadi tuan rumah hingga ke final antara zon bertemu kelab dari zon Asia Selatan, Odisha FC.
“Kami yakin mampu tampil sebagai pemenang dalam perlawanan ini seperti mana yang kami lakukan ketika peringkat kumpulan dan percaya Datuk Ong Kim Swee mempunyai sesuatu yang istimewa apabila menentang wakil Australia itu.
“Jika kita berjaya menewaskan Macarthur, final zonal Asean akan berlangsung di laman sendiri iaitu Stadium Likas pada 22 Februari dan kita akan jadikan perkara ini sebagai motivasi tambahan kerana kami mahu penyokong Sabah dan Malaysia menyaksikan kita ke peringkat seterusnya,” jelasnya.
Selain itu, dia juga mengesahkan Sabah FC mengekalkan sebahagian besar pemain dari skuad 2023 kecuali Amri Yahyah yang bersara dan Rizal Ghazali serta Irfan Zakaria yang membuat keputusan untuk berhijrah.