PASUKAN Sabah FC hadir ke pentas final Piala FA bukan sekadar sebagai pelengkap jadual, sebaliknya dengan pendirian jelas untuk bermain berani apabila berdepan gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Ketua jurulatih The Rhinos, Jean-Paul de Marigny menegaskan pasukannya tidak akan mengamalkan pendekatan bertahan sepenuhnya atau ‘parkir bas’, sebaliknya kekal dengan identiti permainan menyerang yang menjadi tunjang kekuatan Sabah sepanjang kempen ini.

“Tidak. Sudah tentu bertahan sebahagian daripada prinsip kita sama seperti bila kita menyerang. Seperti kita berada dalam fasa peralihan, ianya sama saja,” katanya pada sidang media praperlawanan di SNBJ, hari ini.

Menurut De Marigny, Sabah memiliki kekuatan tersendiri khususnya dari aspek menyerang dan pendekatan bertahan sepanjang 90 minit bukan sebahagian daripada pelan taktikal yang dirancang untuk aksi sebesar final.

“Permainan tetap sama dari segi cabaran. Jadi, kita kena realisasikan semua aspek dalam permainan sebaik mungkin. Itu yang kita akan lakukan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan falsafah pasukannya sejak beberapa perlawanan lalu jelas memperlihatkan Sabah bukan pasukan yang hanya menunggu kesilapan lawan.

“Jika anda mengikuti kita sejak lapan perlawanan lalu, kita satu pasukan yang menyerang dan mahu menjaringkan gol. Kita telah menjaringkan gol dan kita akan terus menjaringkan gol,” katanya penuh yakin.

Final ini turut membawa makna besar buat Sabah yang kini memburu penamat kepada penantian panjang selama 30 tahun untuk kembali menjulang Piala FA, selepas kali terakhir melakukannya pada 1995 apabila menewaskan Pahang 3-1 di pentas akhir.

Pertembungan dengan JDT juga mengimbau memori pahit final 1998, ketika Sabah tewas tipis 0-1 kepada Johor FA, sekali gus menjadikan aksi kali ini sebagai peluang terbaik untuk membalas dendam dan mencipta sejarah baharu kelab.

Dengan tekad menyerang, keberanian taktikal dan semangat untuk menamatkan badi tiga dekad, Sabah FC kini bersedia mencabar dominasi JDT dalam misi memburu kejuaraan Piala FA yang penuh prestij.