PERTEMBUNGAN dua gergasi bola sepak England, Liverpool dan Manchester United, di Anfield pada Ahad tetap akan berlangsung seperti dijadualkan meskipun salji tebal melanda kawasan Merseyside sejak awal pagi.

Selepas beberapa sesi penilaian keselamatan, pihak berkuasa telah memberi lampu hijau untuk aksi ini diteruskan, dengan sepak mula dijadualkan pada jam 12:30 tengah malam waktu Malaysia.

Majlis Penasihat Keselamatan Padang Liverpool City Council bertemu pada jam 5:00 petang waktu Malaysia untuk menilai keadaan cuaca dan keselamatan penonton.

Mesyuarat kedua diadakan beberapa jam kemudian setelah pihak berkuasa berharap cuaca akan reda. Keputusan akhirnya memutuskan bahawa keadaan selamat untuk penonton dan perlawanan boleh diteruskan.

Seorang kakitangan membersihkan jalan daripada salji ketika penyokong tiba menjelang perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Manchester United di Anfield di Liverpool 5 Januari 2025. — Gambar AFP

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan perlawanan ini dapat diteruskan hari ini,” kata kenyataan rasmi Liverpool FC.

“Bagi mereka yang dalam perjalanan ke Anfield, sila berhati-hati. Kami tidak sabar untuk melihat anda di sana.”

Liverpool, yang kini menguasai takhta Liga Perdana Inggeris dengan 45 mata, berada lima mata di hadapan Arsenal di tempat kedua.

Pasukan bimbingan Arne Slot itu akan turun dengan misi mempertahankan kedudukan mereka di puncak liga.

Sebaliknya, Manchester United di bawah kendalian Ruben Amorim sedang bergelut di kedudukan ke-14 selepas mencatat tiga kekalahan berturut-turut. Perlawanan ini bakal menjadi ujian getir buat United yang perlu segera mencari kebangkitan.

Suasana Stadium Anfield di Liverpool menjelang perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Manchester United. Amaran cuaca ambar, yang kedua paling serius untuk salji dan hujan beku telah dilaksanakan untuk sebahagian besar Wales, tengah England dan bahagian barat laut England. Gambar AFP

Liverpool sudah pun mengalami satu penangguhan musim ini apabila derby Merseyside menentang Everton pada Disember lalu ditunda akibat Ribut Darragh. Namun, kali ini, salji tebal tidak menjadi penghalang untuk mereka meneruskan jadual liga.

Dengan perlawanan tetap berlangsung, ribuan penyokong dijangka membanjiri Anfield untuk menyaksikan pertembungan klasik ini, sambil berharap aksi di padang akan lebih panas berbanding suhu sejuk yang menyelubungi Merseyside.