PENDEKATAN sasaran tanpa warna pingat yang kini menjadi amalan seolah-olah memberi lesen besar kepada sebahagian persatuan sukan untuk tidak berasa tertekan, sekali gus menimbulkan persoalan apakah sukan negara sedang digerakkan ke arah kemenangan atau sekadar penyertaan, dan ianya menyerlah apabila semakin sukar untuk kontinjen negara menyatakan sasaran meskipun Sukan SEA Thailand akan membuka tirainya, 9 Disember ini.

Lebih merunsingkan, ketiadaan sasaran itu bukan hanya mengendurkan semangat pertanggungjawaban, malah menjadikan banyak persatuan selesa dan tidak lagi agresif merangka program prestasi tinggi, seolah-olah mereka bebas daripada sebarang tekad untuk menang.

Pemerhati sukan, Mohd Sadek Mustaffa, mengakui pendekatan itu tidak mencerminkan falsafah sukan moden kerana atlet sepenuh masa yang menerima elaun dan kemudahan, sewajarnya dibentuk untuk menghadapi tekanan, bukan dilindungi daripadanya.

“Bila tiada sasaran, ia bukan menenangkan atlet… ia bagi comfort zone kepada persatuan untuk relaks, sebab mereka tahu tiada siapa akan persoalkan kenapa tak menang,” tegasnya, yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM.

Menurutnya, hujah mengurangkan tekanan tidak selari dengan realiti sukan prestasi tinggi kerana tekanan itu sendiri sebahagian daripada proses kematangan atlet, lebih-lebih lagi atlet program podium serta Road to Gold yang menerima pelaburan besar.

Dalam masa sama, Sadek berpendapat penggunaan formula Jawatankuasa Olimpik Jepun (JOC) seperti yang disaran Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) adalah rujukan salah konteks dan tidak boleh disalin bulat-bulat ke dalam ekosistem Malaysia.

“Jepun boleh tak umum sasaran sebab mereka sudah ada 189 emas Olimpik (musim panas)… mereka tahu atlet mereka level dunia, ada data, ada benchmark,” katanya, menyifatkan Malaysia masih jauh daripada tahap tersebut.

Kata beliau, Malaysia masih belum memiliki satu pun sukan yang benar-benar dominan di Asia, malah selepas Hangzhou sekalipun tiada petunjuk kukuh bahawa kita mampu menjanjikan emas walaupun sekadar di pentas Asia Tenggara.

Sadek juga menegaskan bahawa sebahagian persatuan sukan kebangsaan kini lebih banyak berfungsi seperti ‘travel agent’ yang hanya mengurus penyertaan, berbanding memikul tanggungjawab asal sebagai penggerak pembangunan akar umbi dan pencetus budaya menang.

“Kita makin hilang taring… pembangunan perlahan, program lembap, persatuan buat kerja macam rutin pejabat, bukan fight untuk pingat,” jelasnya mengenai sindrom bahaya yang mencengkam beberapa persatuan.

Beliau turut memberi amaran bahawa persiapan ke Sukan SEA Thailand serta temasya besar pada 2026-2027 (Sukan Komanwel, Sukan Asia 2026; dan tuan rumah Sukan SEA 2027) masih kabur, ketika negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia sudah melonjak jauh, sekali gus mencerminkan sistem Malaysia yang semakin lemah tanpa sasaran dan tanpa hala tuju jelas.