PELARI pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi ingin dirinya dikenali dengan identitinya sendiri dan bukannya Usain Bolt Malaysia.

Jelasnya, pelbagai ranjau telah dilalui sebelum ini namun, sokongan daripada pelbagai pihak memberinya semangat untuk terus beraksi dalam Kejohanan Dunia di Cali, Colombia bermula 1 hingga 6 Ogos ini.

Baginya, dia memiliki karakter tersendiri dan enggan disamakan dengan pelari Jamaica itu, kerana dia turut menyimpan hasrat beraksi di pentas dunia dan tidak mustahil untuk menewaskan jaguh pecut Jamaica itu.

“Macam sebelum ini, mungkin saya dikenali sebagai Usain Bolt Malaysia, tapi bagi saya, secara peribadi saya nak orang kenal saya sebagai Azeem Fahmi bukan Usain Bolt Malaysia.

“Jadi saya nak buktikan kepada semua orang, saya bukannya one year wonderboy, macam sebelum ini ramai tengok saya pernah jatuh, saya pernah cedera.

“Apa yang membuatkan saya sampai sekarang adalah sokongan dari orang sekeliling, keluarga, jurulatih dan kepada semua rakyat Malaysia, jadi saya akan buktikan yang saya bukan hanya boleh beraksi di dalam negara tetapi di luar negara.

“Mungkin Usain Bolt ada personaliti dia sendiri, dan saya pun ada personaliti saya sendiri. Mungkin kita tak tahu di masa hadapan, mungkin saya berada di pentas dunia. Adakah orang ingin mengenal saya sebagai Azeem Fahmi atau Usain Bolt,” jelasnya kepada media selepas sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Azeem bersedia bagi persiapan ke Kejohanan Dunia kali ini dengan sasaran meleburkan catatan peribadi dan rekod kebangsaan setelah dilanda mimpi ngeri semasa aksi di Sukan SEA Hanoi Vietnam ekoran ‘false start’.

“Dalam situasi ini, kita dah buat yang terbaik. Persiapan sejak Sukan SEA, kita fokus kepada teknik, ritma larian dan kekuatan. Banyak teknik yang kita dah perbaiki. Untuk World Junior, ia peluang bagi saya mengatasi detik hitam pada Sukan SEA sebelum ini.

“Paling pantas sekarang adalah atlet dari Botswana. Yang terbaik saya adalah 10.28 saat Itu bukan satu penghalang. Sasaran saya cuma nak pecahkan personal best dan juga mungkin rekod kebangsaan,” katanya.

Selain Muhammad Azeem, tiga lagi atlet remaja negara yang berpeluang mempersembahkan kehebatan di pentas dunia, Colombia adalah atlet 110m lari berpagar lelaki Elvin Yap, Jonah Chang (lontar peluru lelaki) dan Muhammad Shah Sholihin dalam acara lompat kijang.