NAMA Bojan Hodak bukanlah asing dikalangan peminat bola sepak tempatan. Pengendali berasal dari Croatia ini dikenali sebagai salah seorang jurulatih terbaik di negara ini dengan taktikal bola sepak moden.

Pemenang tujuh piala domestik dengan tiga pasukan berbeza dan satu piala Asia Tenggara bersama pasukan remaja kebangsaan sudah cukup menggambarkan kehebatan Bojan sebagai jurulatih.

Kini dia berjaya membawa Kuala Lumpur City muncul juara Zon Asean dalam Kejohanan Piala AFC 2022 sekaligus adalah pencapaian terbaik dalam kariernya di peringkat kelab Asia.

Bojan Hodak

Dia yang memulakan karier sebagai jurulatih bersama pasukan UPB-My Team menempa nama setelah berjaya membawa Kelantan memenangi treble pada 2012 sebelum sekali lagi memenangi Liga Super dan Piala Malaysia masing-masing dengan Johor Darul Ta’zim dan Kuala Lumpur City.

Hodak turut berjaya muncul juara di Liga Kemboja bersama Phnom Penh Crown sebelum menjuarai Piala AFF B19 Tahun ketika menerajui skuad muda negara di Indonesia pada 2018.

Ketika ditemubual secara eksklusif oleh FLASH SUKAN selepas kemenangan keatas PSM Makassar di final, Bojan sangat berbangga dengan kejayaan ini dan percaya akan lebih banyak kejayaan yang boleh dia kecapi di masa hadapan.

“Saya masih muda serta mempunyai masa hadapan yang cerah dan saya akan cuba lakukan lebih banyak selepas ini. Perkara ini adalah normal dalam setiap kerjaya jurulatih. Saya gembira dengan pencapaian ini dan akan fokus pada perlawanan selepas ini,” kata pengendali berusia 51 tahun itu.

Kejayaan KL City layak ke peringkat akhir antara zon ini sudah pasti akan menambah rekod baik dalam kerjaya Hodak sebagai jurulatih.