PENGENDALI Sri Pahang FC, Christophe Gamel enggan mengulas mengenai isu penalti yang diberikan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim kerana menganggap dia sudah lali dan biasa dengan kontroversi ini.

Gamel juga turut berbangga dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya terutama pemain-pemain muda yang berjaya mengikuti perancangan yang telah ditetapkan ketika sesi latihan.

Selain itu, Gamel juga menuntut aksi yang lebih baik daripada penjaga gawangnya yang pada pendapat beliau mampu memberikan aksi lebih baik meskipun cemerlang menyelamatkan pasukan.

 

Cuti rehat sebulan ini juga akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan semua pemain berada dalam keadaan baik dan akan memberi cuti kerana nilai kemanusiaan itu lebih penting dari sesi latihan.

“Sejak saya datang ke Malaysia, saya telah menghadapi pelbagai isu kontroversi dan saya sudah biasa akannya dan tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan lagi.

“Kami bermain dengan majoriti pemain muda yang masih kekurangan pengalaman dan kami hanya lima minit lagi dari kejayaan yang besar tetapi Tuhan lebih mengetahuinya. Kami perlu bekerja keras untuk mendapat mata dan satu mata hari ini adalah sangat berharga.

“Samassa adalah pemain yang bagus tetapi banyak perkara yang perlu beliau baiki. Mungkin beliau masih belum dapat menyesuaikan diri dengan bola sepak Malaysia tetapi beliau menjalankan tugas dengan baik. Ianya bagus tetapi bagi saya ianya belum mencukupi kerana saya tahu kualiti yang ada padanya.

“Apa yang merunsingkan saya adalah kecergasan pemain dan saya berharap kami dapat kembali bersama selepas cuti rehat ini. Saya akan melepaskan pemain pulang ke keluarga mereka kerana bagi saya nilai kemanusiaan itu lebih bagus dari satu sesi latihan,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.

Keputusan seri itu menyaksikan Sri Pahang muncul pasukan pertama berjaya menghalang JDT dari mengutip mata penuh musim ini dan akan berhadapan Sabah apabila liga bersambung semula.