MENYEDARI kekalahan 1-2 kepada Terengganu FC yang mungkin peluang terakhirnya bersama Sri Pahang FC, Christophe Gamel ‘melepaskan geram’ mengkritik pengadil perlawanan.

Ketua jurulatih Sri Pahang itu mendakwa, pengadil, Zulkarnain Zakaria, gagal mengadili perlawanan dengan baik dan adil susulan beberapa keputusan kurang tepat.

Kemarahan pengendali berasal Perancis itu memuncak apabila Zulkarnain mengarahkan penalti Terengganu diambil semula selepas penjaga gol, Mamadou Samassa berjaya menyelamatkan sepakan pertama.

“Malam ini (semalam) kami menentang 12 pemain kerana kelibat pengadil cukup mengecewakan. Saya hilang kata-kata dan ini bukan pertama kali berlaku kepada Sri Pahang.

“Kami menerima nasib sama bertemu Kedah dan PJ City, saya tidak pasti jika ada ‘pakatan’ untuk ‘membunuh’ Sri Pahang dengan kualiti pengadilan yang teruk.

“Jika penalti boleh diberikan dua kali kepada TFC, saya lihat kekasaran ke atas (Kevin) Ingreso dalam masa kecederaan juga layak (sepakan penalti),” jelasnya ketika ditemui selepas perlawanan.

Tindakan berani Gamel mengkritik mutu pengadilan itu dianggap sebagai tanda nasibnya selaku pengendali skuad Tok Gajah sudah di hujung tanduk dan hanya menanti masa untuk terbelah.

Jurulatih berusia 50 tahun itu mengakui terpaksa akur jika perlawanan malam tadi menjadi yang terakhir untuknya berada di tepi padang walaupun masih berhasrat untuk kekal bersama Sri Pahang.

“Tekanan itu normal buat mana-mana jurulatih. Saya sayangkan pasukan ini namun jika ketiadaan saya adalah jalan terbaik difikirkan pihak pengurusan, saya akan pergi.

“Pesanan terakhir kepada penyokong Sri Pahang, saya faham kekecewaan dan amarah anda. Tetapi pihak kelab sedang berusaha memberikan yang terbaik kepada anda,” jelasnya lagi.