Presiden FIFA, Gianni Infantino menegaskan beliau “sangat yakin” mengenai penganjuran perlawanan Piala Dunia di Mexico walaupun tercetus keganasan susulan kematian ketua kartel dadah.

“Sangat yakin, semuanya baik. Ia akan menjadi luar biasa,” kata Infantino kepada AFP di bandar Barranquilla, Colombia, dua hari selepas anggota kartel mengamuk termasuk di bandar tuan rumah Guadalajara susulan tindakan tentera membunuh ketua mereka Nemesio “El Mencho” Oseguera.

Mexico adalah salah satu daripada tiga negara tuan rumah Piala Dunia dari 11 Jun hingga 19 Julai bersama Amerika Syarikat dan Kanada.

Negara itu khususnya Guadalajara digemparkan dengan keganasan selepas kematian ketua kartel berpengaruh Jalisco New Generation Cartel (CJNG).

 

Sekurang-kurangnya 74 orang terbunuh dalam operasi menahannya di sebuah ladang berhampiran Guadalajara serta pertempuran susulan antara pasukan keselamatan dan individu disyaki anggota kartel.

Menurut kerajaan, hanya seorang daripada mangsa adalah orang awam, namun penduduk dan pelancong terpaksa mencari perlindungan apabila anggota kartel menyekat jalan di 20 daripada 32 negeri di Mexico serta membakar kenderaan dan premis perniagaan.

Infantino bercakap kepada AFP ketika menghadiri satu majlis anjuran Persekutuan Bolasepak Colombia.

Sebelum itu, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum memberi jaminan tiada risiko kepada peminat Piala Dunia dan berkata keadaan kini “beransur kembali normal.”

Guadalajara yang juga ibu negeri Jalisco akan menjadi tuan rumah empat perlawanan peringkat kumpulan.

Mexico City dan bandar Monterrey di timur laut negara itu turut akan menjadi tuan rumah perlawanan dan kedua-duanya tidak terjejas oleh kekacauan terbaharu.

Selain empat perlawanan termasuk satu aksi yang dinanti-nantikan antara Uruguay dan Sepanyol, Guadalajara dan Monterrey juga akan menjadi tuan rumah kejohanan play-off bagi menentukan dua pasukan terakhir layak ke Piala Dunia hujung bulan depan. – AFP