PASUKAN Scotland menjaringkan dua gol dramatik pada masa kecederaan untuk menewaskan Denmark yang beraksi dengan 10 pemain 4-2 pada aksi penuh kejutan awal pagi tadi, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998.
Di hadapan penyokong tuan rumah yang bergema di Glasgow, pemain gantian Kieran Tierney meledak dari luar kotak penalti pada minit ke-93 untuk mengembalikan kelebihan Scotland.
Seorang lagi pemain gantian Kenny McLean menghasilkan gol keempat yang sensasi apabila melambungkan bola melepasi penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel dari kawasan tengah padang.
Scotland muncul juara Kumpulan C dengan 13 mata, dua mata mengatasi Denmark yang berada 18 tangga lebih tinggi dalam ranking dunia.
Kemenangan itu bermakna skuad bimbingan Steve Clarke akan ke Piala Dunia tahun depan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico manakala Denmark, yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak secara automatik, kini perlu mengharungi pusingan play-off.
“Memang selalu ada satu langkah terakhir,” kata Clarke kepada BBC.
“Langkah terakhir itu sentiasa yang paling sukar.
“Jadi saya cuma mahu tenangkan fikiran mereka, buat mereka selesa dan pastikan mereka tahu mereka mampu hadapi detik sebesar ini.”
Clarke turut terpukau dengan kualiti jaringan pasukannya.
“Scott McTominay menjaringkan sepakan gunting terbaik yang pernah saya lihat,” katanya. “Ia mungkin bukan gol terbaik malam ini. Betul-betul luar biasa.”
Keputusan mengejut Denmark yang diikat 2-2 oleh Belarus, pasukan tercorot kumpulan pada Sabtu lalu memberikan Scotland talian hayat untuk layak secara automatik, walaupun mereka tewas 2-3 kepada Greece pada malam sama.
“Ia menggambarkan skuad kami,” kata kapten Andy Robertson.
“Tidak pernah menyerah kalah. Kami terus berjuang hingga tamat dalam salah satu perlawanan paling gila.
“Kami buat seluruh negara berdebar, tetapi saya pasti ia berbaloi. Kami ke Piala Dunia.
“Saya sembunyikannya dengan baik, tetapi hari ini saya memang sebak. Dengan usia saya sekarang, ini mungkin peluang terakhir saya ke Piala Dunia.” – AFP
Sumber Gambar: The Independent