SELANGOR FC tidak berhadapan masalah untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Liga Super selepas mudah membenam cabaran Negeri Sembilan FC 4-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Nidzam Jamil mengekalkan kesebelasan utama ketika menewaskan Kedah Darul Aman FC pada perlawanan pertama bagaimanapun kelihatan sedikit bergelut pada babak kedua untuk menembusi benteng skuad Jang.

Negeri Sembilan yang beraksi tanpa dua pemain, Hein Htet Aung dan Azrin Afiq kerana perjanjian ‘gentlemen agreement’ dengan Selangor masih mampu memberikan cabaran dengan beberapa serangan balas menarik.

Ronnie Fernandez membuka akaun jaringan dengan Selangor FC

Disiplin bertahan baik ditunjukkan barisan Azzmi Aziz meskipun diasak bertubi-tubi barisan serangan Gergasi Merah serta dibantu ketangkasan penjaga gol, Aqil Abdul Razak di gawang untuk kedudukan tanpa jaringan pada babak pertama.

Memasuki babak kedua, Selangor beraksi lebih garang dan berjaya menjaringkan gol menerusi Yohandry Orozco namun dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas pergerakan itu didapati ofsaid.

Ribuan penyokong Selangor bergembira apabila Ronnie Fernandez meledak gol pembukaan yang juga gol pertama peribadinya sekaligus melenturkan semangat juang pemain Negeri Sembilan.

Aqil Abdul Razak berjaya mengelakkan kekalahan lebih besar

Hasilnya, gawang mereka bocor sekali lagi menerusi Orozco yang kali ini merembat dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran satu dua bersama-sama Noor Al Rawabdeh untuk kedudukan 2-0 memihak Selangor.

Kemasukan Reziq Banihani nyata mengubah corak serangan Selangor dan akhirnya Orozco sekali lagi membolosi gawang Negeri Sembilan untuk gol ketiga sebelum Reziq mencipta jaringan keempat pada minit-minit terakhir untuk mengesahkan kemenangan selesa The Red Giants.

Kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor berjaya menambah tiga mata untuk naik ke tangga keempat liga manakala Negeri Sembilan menelan kepahitan kekalahan kedua berturut-turut dan kini menghuni tangga terakhir.