BEKAS pemenang Anugerah Puskas 2016, Mohd Faiz Subri berharap agar Sean Eugene Selvaraj dapat mengikut jejak langkahnya untuk berdiri di pentas berprestij, Anugerah Bola Sepak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Selepas Faiz mencuri perhatian peminat bola sepak dunia apabila jaringannya diiktiraf gol tercantik bagi Anugerah Puskas 2016, kini pemain Negeri Sembilan, Sean Selvaraj pula berpeluang untuk menempa nama.

Bagi Faiz, 34, keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mencalonkan gol Sean Selvaraj ketika perlawanan Liga Super 2022 menentang Selangor FC pada 31 Julai 2022 untuk bertanding bagi Anugerah Puskas 2022 adalah satu berita baik buat bola sepak negara.

“Ini satu perkhabaran baik kerana kita ada lagi pencalonan dari Malaysia bagi merebut Anugerah Puskas FIFA. Saya berharap pencalonan Sean Selvaraj ini akan berada dalam senarai tiga calon terakhir dan kalau ada rezeki boleh menang.

“Memang ini sesuatu yang menarik kerana selepas enam tahun, ada lagi pencalonan dari Malaysia. Ini bagus kerana bola sepak kita akan dikenali di mata dunia. Negara luar akan tengok liga kita,” katanya.

Faiz memenangi Anugerah Puskas yang disampaikan oleh lagenda Brazil, Ronaldo pada Majlis Anugerah Bola Sepak FIFA, Zurich Switzerland.

Anugerah yang diraih pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu membolehkannya melakar sejarah pemain Asia pertama memenangi anugerah tertinggi jaringan tercantik sekali gus setanding dengan bintang seperti Cristiano Ronaldo, Neymar dan Zlatan Ibrahimovic yang memenanginya dalam edisi terdahulu sejak diperkenalkan pada 2009.

Semuanya bermula apabila jaringan Faiz ketika menewaskan Pahang 3-0 dalam aksi Liga Super, 16 Februari 2016 menarik perhatian seluruh dunia sehingga berjaya menjadi finalis Anugerah Puskas Disember 2016.

Gol menakjubkan itu mencetuskan fenomena apabila menjadi viral apabila ramai peminat menganggap gol itu hampir menyamai gol lagenda Brazil Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada aksi persahabatan antarabangsa 1997.

Pada final undian, Faiz menewaskan Marlone pemain tengah Corintians yang menghasilkan jaringan ke atas Cobresal dalam aksi CopLibertadores dengan melakukan satu ledakan akrobatik.

Mengulas mengenai gol yang dihasilkan oleh Sean Selvaraj menerusi sepakan lambung jarak jauh yang cukup menarik, Faiz berkata, ia memerlukan teknik yang baik untuk menghasilkan gol sedemikian.

“Pada saya ia jaringan yang cantik, pada saya ini kelebihan yang Sean Selvaraj ada kerana untuk melakukannya ia memerlukan teknik sepakan yang tepat. Kita pun tidak tahu gol jaringan pemain lain yang akan dicalonkan, tapi jika ada rezeki mungkin dia pun ada peluang nanti,” katanya yang kini mewakili kelab Penang FC.