PEMAIN sayap Bournemouth, Antoine Semenyo mungkin akan bermain untuk kali terakhir bersama kelab pantai selatan itu susulan spekulasi perpindahan yang kian hangat, kata pengurus Andoni Iraola semalam, sambil mengesahkan penyerang Justin Kluivert akan menjalani pembedahan lutut.

Semenyo mempunyai klausa pelepasan bernilai £65 juta (RM355 juta) yang boleh diaktifkan dalam dua minggu pertama jendela perpindahan Januari, menurut laporan media Britain.

Pemain antarabangsa Ghana berusia 25 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City, yang kini berada di tangga kedua liga dan sedang berusaha mengejar pendahulu Arsenal.

Semenyo meletup dalam liga musim ini dengan menjaringkan sembilan gol – jumlah yang hanya diatasi oleh Erling Haaland (19) dari City dan Igor Thiago (14) dari Brentford.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku esok atau dalam dua, tiga hari akan datang, tetapi saya minta penjelasan sebelum ke sini supaya tidak kelihatan bodoh bercakap mengenai Antoine kemudian dia pergi,” kata Iraola sebelum perlawanan menentang Tottenham Hotspur, awal pagi esok.

“Itulah situasi sekarang. Saya rasa ini mungkin perlawanan terakhirnya – ia pendapat peribadi saya. Tetapi tiada apa yang dipersetujui atau ditandatangani. Ini hanya pandangan saya berdasarkan pemahaman saya mengenai pasaran dan desas-desus.”

Sementara itu, penyerang Belanda, Kluivert yang dikeluarkan pada minit ke-74 ketika Bournemouth tewas 2-3 kepada Arsenal, akan diketepikan untuk beberapa lama, walaupun kecederaannya bukan berkaitan ligamen.

“Ia membabitkan kapsul lutut, patella,” jelas Iraola.

“Saya bukan doktor tetapi ia jelas satu kecederaan yang signifikan.”

Bournemouth kini berada di tangga ke-15 liga dengan 23 mata daripada 20 perlawanan. – REUTERS