KUALA LUMPUR kembali menjadi tuan rumah acara Muay Thai Kuala Lumpur International Fight dengan menampilkan 26 peserta tempatan dan antarabangsa yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Disember 2022.

Selepas tertangguh selama tiga tahun ekoran penularan pandemik Covid-19, Kuala Lumpur International Fight kembali dengan objektif untuk menjadi platform antarabangsa untuk atlet Muay Thai dan juga mempromosi Malaysia sebagai destinasi Muay Thai antarabangsa.

Acara yang dianjurkan oleh Hallo Fight Lab dan mendapat kerjasama daripada Federasi Muay Thai Antarabangsa (IFMA) serta Persatuan Muay Thai Malaysia ini melibatkan 28 peserta dari Thailand, Kemboja, Indonesia, Iran, Morocco, Sepanyol dan Perancis.

Presiden Hallo Fight Lab, Mohd Hazrul Mohd Sapri berkata acara antarabangsa ini dijangka menarik minat hampir 10,000 pengunjung selain pelbagai acara sampingan untuk acara dua hari ini bagi menarik lebih banyak pengunjung.

“Acara antarabangsa ini dijangka menarik minat 6,000 ke 10,000 pengunjung yang meminati sukan bela diri ini dan selain dari ‘fight’ kami juga menyediakan acara eSports dan ianya sesuai untuk dihadiri oleh seluruh keluarga,” katanya pada sidang media memperkenalkan peserta.

Dengan menampilkan 10 peserta dari Malaysia, acara ini juga akan memberi peluang kepada atlet negara untuk berentap dengan peserta-peserta dari luar negara menerusi kategori 52, 55, 60, 63, 63.5, 64 dan 76 kilogram.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Setiausaha Hallo Fight Lab, Mohd Faizul Mat Alewi yang menyatakan pelan jangka panjang acara ini adalah untuk mengadakannya di seluruh negara bagi meningkatkan lagi minat masyarakat terhadap sukan Muay Thai ini.

Pemenang setiap kategori akan menerima piala pusingan dan wang tunai dan bakal membawa pulang gelaran juara Kuala Lumpur International Fight 2022.