TONGGAK berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kini berada di landasan tepat untuk muncul pelumba nombor satu dunia dalam acara pecut individu elit, selepas melonjak ke ranking keenam dunia dengan kutipan 5,174 mata, pencapaian terbaik dalam kariernya setakat ini berdasarkan kemas kini terbaharu Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, menyifatkan pelumba kelahiran Muar itu semakin matang dan tenang dalam kayuhan, terutama selepas kejayaan merangkul pingat emas di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye, baru-baru ini.
“Saya lihat sendiri bagaimana Shah mendominasi perlumbaan di Konya. Dia kini lebih yakin, tenang, dan tahu apa yang dia mahukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Amarjit, Shah sudah keluar dari bayangan legenda trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, dan sedang membina laluan gemilangnya sendiri. Perubahan paling ketara, katanya, adalah dari segi pemikiran taktikal dan keberanian Shah dalam mengatur strategi ketika berlumba.
Shah, 28, bukan lagi asing dalam arena berbasikal trek antarabangsa. Antara pencapaian membanggakan termasuk mengalahkan Azizul dalam acara keirin di Kejohanan Trek Kebangsaan Australia 2021, meraih gangsa di Sukan Komanwel Birmingham 2022, serta menamatkan perlumbaan keirin di tempat keenam pada Sukan Olimpik Paris 2024 — satu-satunya wakil Asia dalam final tersebut.
Shah merupakan produk program pembangunan trek elit di bawah kendalian jurulatih ternama Australia, John Beasley, individu sama yang membawa Azizul ke pentas dunia dan Olimpik.
Amarjit berkata beliau akan bertemu Beasley dalam masa terdekat untuk membincangkan pelan jangka panjang buat Shah, termasuk potensi untuk memegang ranking nombor satu dunia.