HASRAT melihat perseteruan antara Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom pada perlumbaan kejohanan Siri 1 Piala Presiden di Veledrom Nasional, di Nilai, tidak kesampaian apabila The Terminator terlibat kemalangan dalam acara pecut.
Ketiadaan Shah Firdaus itu sekali gus membuka ruang besar buat Azizulhasni mengungguli dua gelaran, keirin dan pecut.
Terdahulu, Shah Firdaus mengalami kemalangan pada suku akhir acara pecut individu, namun dia bernasib baik, tidak mengalami kecederaan serius dengan calar-calar ringan pada anggota badannya.
Azizulhasni meraih emas pertama dalam perlumbaan pecut individu, selepas menewaskan rakan sepelatih, Muhammad Ridwan Sahrom di final.
Manakala emas kedua Azizulhasni pula diraih dalam acara keirin, menewaskan rakan senegara, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri kedua dan pelumba Indonesia, Dika Alif Dhentaka ketiga.
Azizulhasni, 36, berkata, perlumbaan ini menjadi peluang terbaik untuk menguji dirinya menjelang siri Piala Trek Jepun minggu depan.
“Saya hanya bersaing di sini untuk berlatih kerana kami akan berangkat ke Jepun pada Isnin untuk dua kejohanan lain di sana,” kata Azizulhasni.
“Hari ini hanya tentang menguji diri saya. Saya berjaya mencatat masa yang baik, 9.8 saat dalam jarak 200 meter pusingan kelayakan.
“Saya menggunakan gear berat untuk membantu memperkuatkan kaki saya. Saya juga menguji diri saya dalam beberapa posisi yang lebih sukar semasa perlumbaan hari ini.”
Turut mempamerkan prestasi dominan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, yang menjuarai acara pecut individu dan keirin wanita.
Kepantasan dipamer Izzah membuatkan pesaingnya kelihatan begitu ketara perlahan.
Dia menewaskan rakan sepasukan kebangsaan, Nurul Aliana Syafikah Azizan, dalam final pecut individu.
Sementara dalam acara keirin, Nurul Izzah menewaskan Ratu Afifah Nur Indah dari Indonesia di kedudukan kedua dan seorang lagi pelumba negara, Dolly Yong ketiga.
Bersemangat menjelang saingan Olimpik pertamanya, Izzah mengakui tidak menyimpan tenaga dan membuka ruang besar kepada pesaingnya.
“Saya tidak pernah meremehkan lawan saya dan sentiasa cuba untuk memacu laju, saya tidak mahu berasa terlalu selesa atau meremehkan sesiapa pun jadi saya sentiasa berlumba sepenuh tenaga ketika saya berlumba,” kata Izzah.
Begitupun, Nurul Izzah menakui, banyak lagi yang perlu diperbaikinya terutama teknik dan taktik.
Esok semua pelumba akan bersaing dalam Siri 2 Piala Presiden, namun Azizulhasni tidak mengambil bahagian.