KARATEKA sandaran negara, C Shahmalarani dan Thevendran Kaliana Sundram menceriakan kem karate megara apabila kedua-duanya cemerlang mempertahankan emas yang dimenangi Malaysia di Kemboja, sekali gus membuka tirai kemenangan garang skuad karate di Sukan SEA Thailand 2025.
Thevendran menjadi pencetus emas negara apabila mempamerkan aksi penuh “bernafsu” dalam final lelaki bawah 55kg di Kompleks Kerajaan Ratthaprasasanphakdi.

Ketika Shahmalarani mempertahankan emas dimenangi di Hanoi dan Kemboja, Thevendran membalas kepercayaan jurulatih yang menurunkannya dalam kategori bawah 55kg, apabila mempertahan emas dimenanhi S Prem Kumar dua tahun lalu.
Dia tidak memberi Vietnam walau seinci ruang ketika menundukkan Chu Van Duc dengan kemenangan bersih 4-0 yang mengingatkan kepada keperkasaan S Prem Kumar dua tahun lalu.
Rentak membara itu diteruskan Shahmalarani yang turun dengan aura juara selain statusnya yang berada di ranking kelima dunia dalam kategori wanita bawah 50kg.


Antara penyumbang pingat dari sukan karate.
Ratu karate negara itu tidak mengecewakan apabila menewaskan Florence Nay Chi Htun dari Myanmar 4-0 dengan gaya penuh keyakinan.
Kedua-dua kemenangan tersebut mengesahkan Malaysia masih kuasa yang sukar digugat dalam acara kumite, sambil memberi amaran awal kepada pencabar lain di Bangkok.