MUHAMMAD Amin Rahim anggap skuad remaja negara mencapai kemajuan yang baik selepas kembali dari Kejohanan Remaja Asia di Oman, apabila mencapai kemenangan pertama, pada perlawanan persahabatan menentang kelab Western Australia, hari ini.
Ketua jurulatih hoki remaja lelaki kebangsaan itu berkata, kemenangan 3-1 dicapai ketika skuad lelaki negara berada dalam fasa pembentukan fizikal pemain, sekali gus menyifatkan kemenangan pertama daripada empat pertemuan yang dirancang sebagai langkah kanan.

Muhammad Amin Rahim berpuas hati dengan prestasi skuad remaja negara.
“Good performance… dalam dua bulan ini, kita dalam fasa blok fizikal dan kami memang mahukan pemain mempamerkan prestasi terbaik ketika berada di dalam keadaan keletihan, ketika badan mereka masih sakit kerana menjalani latihan pembinaan fizikal.
“Begitupun, kemenangan ini menunjukkan keadaan fizikal pemain kita belum cukup untuk beraksi di tahap antarabangsa, namun ada peningkatan dipamerkan,” kata Amin, selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu, Mohammad Harris Iskandar Osman membuka jaringan pada minit ke-17 manakala dua lagi gol skuad remaja negara dijaringkan pertahanan, T Perabu menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-43 dan minit ke-50.

Benteng pertahanan skuad remaja negara semakin mantap.
Western Australia pula memperoleh gol saguhati menerusi jaringan Fletcher Wetherell menerusi jaringan padang pada minit ke-28.
Sementara itu, ketua pasukan Muhammad Faris Harizan mengakui banyak peningkatan ditampilkan skuad remaja negara selepas Sukan Sea Kemboja dan Piala Dunia Remaja.
“Kami banyak menunjukkan peningkatan dari segi keserasian dan mengurangkan kesilapan yang kami lakukan di Kemboja dan Oman.
“Pada perlawanan ini, saya berpendapat kami perlu meningkatkan lagi tahap kecergasan kerana. Dari segi persefahaman dan keserasian, saya rasa kami tiada masalah biarpun ada pemain keluar dan masuk dalam skuad ini.
“Saya juga gembira kerana kami bertahan dengan baik, dan hanya bolos satu gol dan menghadiahkan satu pukulan sudut penalti sahaja kepada lawan,” kata Fariz.